SEREMBAN - Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan akan memfailkan permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini, berhubung kes mengajar ajaran sesat yang disabitkan terhadap seorang pemuzik jalanan pada Khamis.
Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Raja Mazelan Raja Deraman berkata, pihak pendakwaan menghormati keputusan yang telah dibuat, namun merasakan hukuman dijatuhkan terlalu ringan.
"Hukuman yang dijatuhkan dirasakan terlalu ringan dan tidak memadai dengan kesalahan yang telah dilakukan.
"Kami juga berpendapat hukuman tegas dan keras perlu dijatuhkan bagi membendung kes-kes ajaran sesat yang berleluasa tumbuh bagai cendawan khususnya di Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, pihaknya percaya mahkamah terkhilaf dan gagal mempertimbangkan keputusan wajar dari beberapa sudut tertentu khususnya kesalahan yang telah dilakukan.
Ini kerana katanya, kesalahan dilakukan adalah sangat serius, berat dan melibatkan akidah.
Sebelum ini media melaporkan seorang pemuzik jalanan dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas pertuduhan mengajar ajaran sesat berkaitan Millah Abraham terhadap isterinya, tahun lalu.
Hakim, Ruzita Ramli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Norasid Md Said, 50, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan sebulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak kepada isterinya yang berusia 51 tahun dengan menyatakan 'selepas kewafatan Nabi Muhammad akan muncul Rasul baru'.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah Felda Palong 3, Gemas di Tampin antara 1 September hingga 30 September 2023.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, pindaan 2019.
Sebelum itu, Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Abdul Wafi Ramli memohon mahkamah mengenakan hukuman denda maksimum dan pemenjaraan.
Beliau turut berpandangan kesalahan dilakukan adalah berat yang berkaitan dengan akidah dan boleh memberi kemudaratan kepada agama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu dikenakan hukuman ringan dan mengaku telah bertaubat serta tidak akan mengulanginya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!