Kerajaan masih teliti semula subsidi, bantuan kepada rakyat termasuk petrol RON95

Iklan
Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95, menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu menjelaskan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diperincikan dari semua aspek supaya inisiatif itu dapat berjalan dengan lancar dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan kepada rakyat.

Iklan
Iklan

"Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Sesi libat urus dengan pihak berkepentingan juga akan diadakan bagi memastikan setiap aspek diambil kira, termasuk garis masa pelaksanaan serta mekanisme yang bersesuaian bagi membolehkan rakyat yang terkesan, menerima manfaat yang sewajarnya, tambahnya.

Iklan

Kementerian Ekonomi memaklumkan pelbagai cadangan sedang dipertimbangkan oleh kerajaan berdasarkan keperluan fungsian yang dijalankan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Kementerian Ekonomi menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (PN-Pagoh) mengenai mekanisme rasionalisasi subsidi petrol dan diesel termasuk garis masa pelaksanaan, implikasi kewangan yang terlibat serta pendekatan.

Iklan

Kementerian itu menjelaskan bagaimanapun, sebarang keputusan yang diambil oleh kerajaan akan disampaikan dengan jelas kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan terhadap perancangan dasar yang dilaksanakan.

"Kerajaan juga telah merancang beberapa inisiatif bagi memastikan kuasa beli rakyat dapat dikekalkan. Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan mempergiatkan usaha untuk menangani kos sara hidup supaya kuasa beli dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas,” jelasnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!