LIPIS - Seorang remaja yang baru selesai kelas mengaji maut apabila motosikal yang diboncengnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori, pada petang Khamis.
Dalam kejadian itu, Nor Arisya Husniyah Azli, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kemalangan berlaku pada jam 5.50 petang itu, pemandu lori berusia 58 tahun dari arah Ladang Selborne dalam perjalanan balik ke Kampung Selindang.
"Dua remaja perempuan masing-masing berusia 14 tahun baru balik mengaji di Kampung Gua, menghala ke Kampung Padang Tengku.
"Apabila sampai di tempat kejadian di simpang tiga, motosikal berkenaan bertembung dengan lori yang bergerak di laluan terus," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!