BESUT - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu menempatkan Alat Pemantauan Kualiti Udara (GRIMM) di Kolej Vokasional Besut dan Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud 2 untuk mengukur tahap kualiti udara susulan kebakaran yang berlaku di dua kawasan terbabit sebelum ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, usaha sedang dilakukan untuk menempatkan Stesen Pemantauan Kualiti Udara Bergerak di Kampung Raja untuk memberikan maklumat kualiti udara kepada orang awam.
Beliau berkata, terdapat dua kejadian telah menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara akibat pelepasan asap yang berpunca daripada kebakaran yang berlaku di dua kawasan berkenaan.
Menurutnya, kejadian tersebut ialah kebakaran yang berlaku di Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Majlis Daerah Besut (MDB) di Paya Rawa dan kebakaran hutan serta belukar di kawasan bertanah gambut di Kampung Raja, Besut.
"Kebakaran di TPS Paya Rawa telah berlaku sejak 5 Jun 2024 dan kerja-kerja pemadaman masih diteruskan oleh pihak MDB dengan kaedah tambunan tanah di kawasan yang terbakar dibantu oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah Besut dan Jabatan Kerja Raya.
"Kebakaran mengambil masa lama untuk dipadamkan memandangkan kandungan bahan organik yang tinggi di kawasan TPS dan gas metana mudah terbakar serta faktor cuaca yang panas dan kering," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Razali menyatakan kebakaran hutan dan belukar di kawasan tanah gambut Kampung Raja, Besut dikesan berlaku pada awal Julai 2024 melibatkan keluasan kawasan yang terbakar dianggarkan sebanyak 30 hektar.
Katanya, kerja-kerja pemadaman kebakaran sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dengan bantuan penduduk kampung.
"Ciri-ciri tanah gambut yang tinggi bahan organik dan kebakaran di lapisan bawah tanah gambut menyebabkan kebakaran mengambil masa yang lama untuk dipadamkan sepenuhnya," jelas beliau.
Justeru, Razali berkata, kerajaan negeri mengingatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi kualiti udara.
Menurutnya, sebarang aktiviti luar perlu dikurangkan buat sementara waktu sehingga kualiti udara pulih sepenuhnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!