JAS Kedah arah pemaju tutup tanah terdedah, kurangkan hakisan

Iklan
Kompartment 15 (sempadan) Hutan Simpan Gunung Bongsu. Gambar kanan: Sharifah Zakiah

ALOR SETAR - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sudah mengeluarkan notis arahan kepada pemaju projek ladang hutan di Gunung Bongsu, Kulim untuk meletakkan lebih 'crusher run' di jalan akses sedia ada bagi menutup tanah terdedah serta mengurangkan hakisan di kawasan berkenaan.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, arahan itu merupakan sebagai langkah kawalan awal di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penggerak projek perlu memahami sensitiviti masyarakat dan mematuhi segala keperluan perundangan yang ditetapkan termasuk perlu mendapatkan kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) serta pelan pengurusan alam sekitar (EMP) sebelum melaksanakan apa-apa kerja fizikal di lapangan.

"Penggerak projek juga diingatkan agar sentiasa mematuhi syarat-syarat kelulusan Laporan EIA termasuk melaksanakan apa-apa langkah kawalan yang perlu.

Iklan

"Sebarang pembangunan akan datang, jika kelulusan laporan EIA berjaya diperolehi juga akan mensyaratkan supaya kerja-kerja dibuat secara berfasa bagi mengelakkan pembersihan kawasan secara besar-besaran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, kegagalan untuk mematuhi syarat-syarat kelulusan tersebut akan menyebabkan penggerak projek boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 34A(8), Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024.

Iklan

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh juga denda maksimum RM1 juta," katanya.

Beliau berkata, sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan terdapat kerja-kerja penebangan pokok sedang dilaksanakan di kawasan Hutan Simpan Gunung Bongsu.

"Tindakan itu menimbulkan kegusaran penduduk kerana aktiviti itu bakal mengundang kepada risiko dilanda banjir puing, kemusnahan tanaman dan konflik antara haiwan liar dan manusia.

Mengulas lanjut, Sharifah Zakiah berkata, berdasarkan lawatan siasatan terkini JAS Kedah pada 10 Jun lalu dan terbaru pada Khamis di tapak, JAS Kedah turut menjalankan pemantauan sekitar menggunakan dron dan didapati tiada kerja-kerja pembalakan dan aktiviti ladang hutan dijalankan di kompartmen 15, 42 dan 43, Hutan Simpan Gunung Bongsu.

"Pasukan penyiasat JAS juga Kedah hanya dapat sampai ke sempadan kompartment 15 melalui jalan sedia ada di kompartmen 44 kerana tiada laluan lain selepas itu," ujarnya.

Beliau berkata, laporan EIA terdahulu bagi projek ladang hutan di Kompartment 15, 42, dan 43, Gunung Bongsu telah diproses mengikut prosedur jadual kedua di peringkat JAS ibu pejabat dimana pandangan dan ulasan orang ramai turut diambil kira melalui pameran awam yang telah diadakan sebelum laporan EIA diluluskan.

"Berkaitan kelulusan EIA bagi kompartment 15, 42 dan 43 yang dikatakan sudah luput, pihak penggerak projek telah membuat permohonan perlanjutan kelulusan laporan EIA kepada JAS ibu pejabat.

Sharifah Zakiah berkata kerja-kerja penanaman pokok hutan juga selesai bagi projek ladang hutan di kompartment 44, 45 dan 46 di gunung berkenaan.

"Bagi projek pengkuarian bahan batuan di Lot PT 68, kompartment 28 dan 29, penggerak projek sudah dimaklumkan bahawa kelulusan EIA sudah tamat dan tidak dibenarkan membuat sebarang aktiviti," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, JAS sentiasa prihatin terhadap sensitiviti masyarakat serta risiko yang berkemungkinan timbul kesan daripada projek-projek ini jika tidak diurus dengan baik.

"Bagaimanapun, JAS sebagai sebuah agensi teknikal yang juga menjalankan penilaian, pemantauan dan penguatkuasaan perlu mengambil pendekatan berkecuali, profesional, adil dan saksama dalam penilaian laporan serta apa-apa tindakan.

"Kelulusan laporan EIA sama ada akan diperolehi atau tidak bergantung kepada hasil kajian terbaru serta langkah-langkah kawalan yang akan dicadangkan," katanya.

Beliau menjelaskan, orang awam yang mungkin terjejas boleh membangkitkan apa-apa kebimbangan mereka semasa proses pameran awam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!