Ibu mertua 'pergi' ketika sambut cucu baharu

Iklan
Samsiah (kanan) menerima kehadiran rakan dan keluarga selepas kebakaran yang mengakibatkan kematian ibu mertuanya.

TUMPAT - Tidak sampai empat jam menyambut kelahiran cucu baharu, seorang warga emas dikejutkan dengan pemergian ibu mertua yang maut dalam kebakaran di Kampung Bukit Wakaf Bharu pada malam Khamis.

Dalam kejadian itu, Halimah Awang, 85, yang tinggal berseorangan ditemukan maut dengan keadaan melecur di beberapa bahagian badan dalam kebakaran terbabit.

Iklan
Iklan

Samsiah Mohamad, 61, berkata, dia pergi Kuala Lumpur minggu lalu untuk melawat menantunya yang sedang sarat mengandung sebelum menantunya itu dimasukkan ke wad bersalin pada Rabu.

"Saya terima panggilan daripada ahli keluarga di kampung kira-kira jam 8.30 malam ketika sedang menanti menantu yang berada di bilik bersalin.

Iklan

"Saya kemudian bergegas pulang bersama menantu sulung yang kebetulan tinggal di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Rumah Halimah hangus dalam kebakaran di Kampung Bukit, Tumpat pada malam Khamis.

Samsiah bagaimanapun bersyukur kerana menantunya selamat melahirkan bayi kira-kira jam 5 petang Khamis.

Iklan

Jelasnya lagi, arwah tidak banyak menunjukkan perubahan tetapi sentiasa mahu kelihatan kemas dan gemar memakai barang kemas.

Sementara itu, jirannya, Nur Ain Abdullah, 29, berkata, kebakaran itu berlaku ketika hujan lebat dan ribut petir sehingga mengakibatkan banyak rumah di kampung itu terputus bekalan elektrik.

Menurutnya, mereka sekeluarga keluar ke halaman rumah sebelum ternampak api marak kira-kira 300 meter dari kediaman mangsa yang dipanggil maksu.

Samsiah (kiri) menerima kehadiran rakan dan keluarga selepas kebakaran yang mengakibatkan kematian ibu mertuanya.

Dia berkata, abang ipar dan adik lelakinya bergegas ke arah api dan melihat rumah arwah Halimah terbakar.

"Ketika itu anak arwah, Che Rahim Che Soh, 67, serta cucunya, Che Siti Hajar, 24, cuba masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan mangsa.

"Abang ipar dan adik saya serta anak dan cucu arwah yang lain cuba memecahkan tingkap bilik tidur untuk menyelamatkannya tetapi terhalang kerana ada jeriji," katanya.

Nur Ain memberitahu, mereka kemudian mengelilingi rumah sambil memanggil nama maksu tetapi tiada sahutan manakala api marak di ruang tamu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Nazah Nafi berkata, mereka menerima panggilan pada jam 8.03 malam.

Berikutan itu, seramai 19 pegawai serta anggota termasuk dari BBP Tunjong bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan dan mendapati 70 peratus bahagian kediaman musnah.

"Api dapat dikawal pada jam 8.37 malam dan bomba menemui mangsa dalam keadaan tertiarap. Beberapa anggota badannya melecur dan mangsa diserahkan kepada pihak untuk tindakan lanjut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!