Tengku Amir Shah naik belon panas, mengancau ikan di Rumpun Selangor

Iklan
Tengku Amir Shah (kanan) dan diiringi Rizam (dua kanan) bersama jurupandu menaiki belon panas sempena Program Gagasan Rumpun Selangor pada Jumaat di Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang di sini pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menaiki belon udara panas di Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Tanjong Karang sempena Program Gagasan Rumpun Selangor pada Jumaat.

Baginda diiringi Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail dan jurupandu yang menerbangkan belon setinggi kira-kira 500 meter dari udara.

Iklan
Iklan

Tengku Amir Shah yang mencemar duli masuk ke dalam bakul belon udara panas itu sempat menyaksikan keindahan 'pemandangan hijau' di sekeliling Taman Agroteknologi itu.

Penerbangan belon udara yang bahan apinya dihidupkan menggunakan penunu itu mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum ia kembali mendarat.

Iklan

Tengku Amir Shah kemudiannya turut berkenan melihat sendiri aktiviti membaja tanaman padi menggunakan dron.

Aktiviti turut dimeriahkan lagi apabila baginda berkenan melakukan aktiviti mengancau ikan di kolam taman agroteknologi berkenaan.

Iklan
Tengku Amir Shah (dua dari kanan) berkenan mengancau ikan semasa lawatan baginda di Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang di sini pada Jumaat.

Aktiviti mengancau ikan amat popular dalam kalangan etnik Banjar suatu ketika dahulu.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan baja kepada pesawah dalam program itu dan diakhiri dengan majlis santapan.

Baginda berada selama tiga hari di daerah Kuala Selangor sepanjang pelaksanaan Rumpun Selangor.

Pada hari ketiga, Tengku Amir Shah turut berkenan berangkat di Makam Diraja Bukit Melawati dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Jannah, Kampung Haji Razali, Tanjong Karang dan menyertai kenduri rakyat pada sesi lawatan terakhir sempena program itu.

Setakat ini, pelaksanaan Gagasan Rumpun Selangor sudah berlangsung di daerah Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Petaling.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukkan RM4.5 juta bagi menjayakan Rumpun Selangor di sembilan daerah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!