Pemilihan Bersatu: Rina akan bertanding di Sepang

Iklan
Rina Harun

SHAH ALAM - Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi Bahagian Titiwangsa pada pemilihan parti itu.

Namun menurutnya, beliau akan menyerahkan borang pencalonan di Bahagian Sepang, Selangor bagi pemilihan Bersatu petang ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Rina tidak mendedahkan apakah jawatan yang akan ditandinginya pada pemilihan pertama Bersatu.

"Tunggu petang ini kerana saya belum hantar borang pencalonan pemilihan Bersatu.

Iklan

"Saya akan bertanding di Sepang. Saya memang berasal daripada Sepang, ibu saya di Sepang dan memang asal usul saya daripada Sepang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Nak Ubah Hidup (NUH) 2020 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Pencalonan bagi pemilihan Bersatu akan bermula pada 26 Januari ini disusuli mesyuarat peringkat cawangan mulai 15 Februari sehingga 29 Mac, dengan mesyuarat di peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April.

Iklan

Perhimpunan Agung Bersatu pula akan diadakan selama empat hari bermula 25 Jun ini yang turut akan menjalankan pemilihan buat pertama kali sebelum perhimpunan berlangsung.

Diajukan soalan mengapa tidak bertanding di Titiwangsa pada pemilihan parti, Rina berkata, ini kerana beliau merupakan ahli di Sepang.

"Kalau di Titiwangsa biar ada orang (lain) jaga. Kita sama-sama jaga antara satu sama lain.

"Dahulu ketika menjadi Puteri UMNO pun di Bahagian Sepang," katanya.

Ditanya adakah akan bertanding bagi Ketua Bahagian Sepang, beliau menafikannya.

"Tidak (bertanding jawatan Ketua Bahagian Sepang). Kita tengok petang nanti," katanya.

Ditanya lagi adakah akan bertanding bagi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Sepang, beliau menjelaskan perkara itu tidak boleh diperkatakan.

"Sebenarnya, sebelum menghadapi PRU, kita perlu fikirkan bagaimana mahu memenangi hati rakyat," katanya.