KUALA SELANGOR - Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak membuat sebarang khilaf selepas memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang digugurkan keahlian daripada parti itu.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi berkata, keputusan itu jelas membuktikan beliau bersama lima lagi ahli Parlimen Bersatu tidak keluar daripada parti sebaliknya dipecat.
"Kuasa (pengosongan kerusi) itu memang berada pada Speaker (Dewan Rakyat) dan beliau mengambil kira daripada pelbagai aspek termasuk Akta Anti Lompat Parti [Akta A1663] itu sendiri.
"Secara jelasnya, kami berenam (Ahli Parlimen Bersatu) tidak melompat (menyertai mana-mana) parti politik," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut Zulkafperi, pertimbangan itu telah diteliti sebaik-baiknya Speaker dan mengambil kira arahan di bawah Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu.
"Kalau pihak sebelah sana (Bersatu) berasa tidak berpuas hati, mereka masih mempunyai ruang untuk membawa perkara itu ke mahkamah," tambahnya.
Rabu lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.
Muhyiddin mengesahkan perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat menerusi surat bertarikh Selasa.
Selain Zulkafperi, lima yang lain adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).