Khutbah: Waspada penipuan atas nama ibadah

Iklan
Gambar hiasan khutbah Jumaat.

IPOH - Umat Islam di Perak digesa berwaspada dengan penipuan melibatkan pengurusan berkaitan ibadah yang semakin berleluasa ketika ini.

Nasihat itu disampaikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi khutbah Jumaat bertajuk Waspada Penipuan Pengurusan Ibadah yang disampaikan di seluruh masjid dan Surau Diri Jumaat di Perak hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya teks khutbah berkenaan, mutakhir ini, dilaporkan semakin berleluasa, berlaku urus niaga berunsur penipuan melibatkan syarikat-syarikat yang mengendalikan urusan ibadah.

Beberapa kegiatan yang dikenal pasti dan sedang berlaku dalam pengurusan ibadah itu termasuklah penipuan kutipan derma, sedekah atau wakaf, pakej ibadah haji dan umrah serta badal haji dan umrah.

Iklan

"Perbuatan menipu yang dilakukan dengan pelbagai helah untuk mengaut keuntungan merupakan perbuatan tercela. Penipuan yang dilakukan dengan pelbagai muslihat hingga ke peringkat sanggup mengambil harta orang lain secara batil, mengakibatkan orang lain menanggung kesusahan, bukan sekadar perbuatan berdosa bahkan perbuatan zalim.

"Ummah dinasihati sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa, diperdaya atau terperangkap dengan jerat penipuan yang bertopengkan ibadah mahupun kerja-kerja amal dan kebajikan," jelas teks khutbah tersebut yang dibacakan khatib bertugas.

Iklan

Jelas teks khutbah tersebut, sikap pemurah umat Islam telah membuka ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan pelbagai penipuan dan penyelewengan terhadap dana kutipan derma serta sumbangan orang ramai.

Terdapat sumbangan yang diperkenalkan menggunakan nama badan amal, program kebajikan, rumah anak yatim, pembinaan masjid dan surau yang tidak diketahui tentang kesahihan kewujudannya.

Begitu juga dengan penipuan pakej haji dan umrah yang sering kali dilaporkan tidak memenuhi tawaran yang diiklankan atau dijanjikan merangkumi jenis bilik penginapan, jarak tempat penginapan dengan Masjid Nabawi atau Masjidil Haram, kemudahan pengangkutan malah lebih buruk ada jemaah yang terkandas dalam perjalanan atau semasa berada di tanah suci.

Kini, kes penipuan pengendalian pakej ibadah haji dan umrah semakin meningkat, iaitu sebanyak tiga kali ganda dengan mencatatkan 518 kes yang difailkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bagi tempoh sehingga Ogos 2023 melibatkan jumlah kerugian RM9 juta berbanding 62 kes dilaporkan kepada pihak berkuasa pada tahun 2022 membabitkan kerugian RM2.1 juta.

Selain itu, penipuan yang turut dilakukan ialah perbuatan mempromosi tokoh terkenal Islam yang berpengaruh secara salah, malah tanpa pengetahuan dan izin tuan badan sebagai muslihat mahu meraih perhatian orang ramai untuk tujuan mengumpul dana, kemudiannya mengurus dana yang dikutip secara tidak telus.

"Perbuatan sedemikian merupakan perbuatan tidak bermoral dan sangat berdosa. Demi melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan serta untuk mengelak dan mengawal sebarang penipuan mahupun penyelewengan, di Negeri Perak, disyaratkan setiap kegiatan memungut derma, hendaklah terlebih dahulu memperoleh kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).

"Ummah hendaklah teliti ketika melakukan pelbagai urusan hidup, menyemak dan menyiasat apa juga tawaran, iklan, permintaan dan rayuan yang dilakukan secara bercetak melalui saluran Internet atau media sosial begitu juga daripada mana-mana badan, pertubuhan atau orang perseorangan," menurut teks khutbah berkenaan.

Begitu juga ketika memilih tawaran pakej mengerjakan ibadah haji dan umrah dengan melakukan perancangan, penelitian dan semakan latar belakang syarikat agar tidak menjadi mangsa penipuan.

Orang ramai dinasihat untuk mendapatkan agensi pelancongan yang berdaftar dan mempunyai lesen yang sah daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, menyelidik dengan teliti maklumat agensi dan lebih meyakinkan jika agensi memaparkan maklumat audit tahunan pengurusan kewangan.

Sementara itu, setiap pihak yang tampil bagi mendapatkan sumbangan derma perlu dipastikan bahawa ia benar-benar wujud dan telah pun mendapat kebenaran memungut derma daripada pihak berkuasa agama setempat.

Mereka juga diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya wujud sebarang keraguan terhadap kegiatan pungutan derma, apatah lagi yang menggunakan kanak-kanak.

Jelas teks khutbah itu lagi, ALLAH SWT melarang keras perbuatan mengambil harta orang lain secara batil berpandukan firman yang terkandung dalam surah An-Nisa’ ayat 29.