SHAH ALAM - Pesawat pertama Malaysia Airlines, A330neo sudah menyelesaikan proses mengecat dan mempamerkan livery bendera Malaysia sejurus keluar daripada bengkel cat Airbus di Toulouse, Perancis.
Airbus berkata, penyelesaian fasa mengecat itu menandakan pencapaian penting dalam perjalanan pengeluaran pesawat tersebut.
Menurutnya, ia akan dilengkapi dengan enjin Roll-Royce Trent 7000 yang canggih dan menjalani ujian prestasi sebagai persediaan untuk penerbangan pertamanya.
"Semua sistem kabin juga akan diuji dengan teliti pada tahap ini.
"Ini termasuk pemeriksaan menyeluruh aliran udara dan penyaman udara, pencahayaan, dapur, tandas, tempat duduk serta sistem hiburan dalam penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Malaysia Airlines dijangka akan menerima penghantaran tiga A330neo dengan yang pertama dijangka tiba pada suku ketiga 2024, sekali gus mengukuhkan penawaran produk utamanya dan prospek pertumbuhan masa depan dengan kumpulan pesawat berbadan lebar serta susun atur kabin premium serba baharu.
Tambah Airbus, pihaknya akan menjalankan ujian prestasi umum lanjutan untuk memastikan pesawat berkenaan memenuhi semua spesifikasi dan sedia untuk penyerahan.
Ujarnya lagi, pengenalan A330noe merupakan komponen penting dalam strategi pembaharuan armada Malaysia Aviation Group (MAG) yang bermula pada 2022 dengan 20 pemilihan pesawat tersebut.
"Pesawat A330neo Malaysia Airlines akan berkhidmat laluan merentasi Asia, Oceania dan Timur Tengah.
"Ia dijangka menerima pesawat ini pada suku ketiga tahun ini,” katanya lagi.