12 terbunuh, 65 hilang dalam kejadian tanah runtuh di Nepal

Iklan
Pasukan penyelamat melakukan pencarian mangsa kejadian dua buah bas hilang di dalam sungai Trishuli di Simaltar, Nepal pada Jumaat. Foto AFP

KATHMANDU - [DIKEMAS KINI] Dua belas orang terbunuh manakala 65 lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh berasingan di Nepal pada Khamis malam dan pagi Jumaat, lapor Xinhua yang memetik kenyataan polis tempatan.

Jurucakap polis daerah Kaski, Basant Kumar Sharma berkata, tujuh dipercayai sekeluarga dan tiga yang lain maut dalam tanah runtuh di Pokhara pada Khamis malam manakala seorang lagi mangsa terkorban di perbandaran Madi di daerah itu.

Iklan
Iklan

"Kami telah menemukan 11 mayat di tiga tempat di daerah itu," kata Sharma kepada Xinhua.

Sementara itu, 65 penumpang hilang selepas dua bas dihanyutkan ke sungai oleh tanah runtuh di daerah Chitwan di lebuh raya Mugling-Narayanghat yang menghubungkan Kathmandu dengan seluruh negara.

Iklan

Sebuah bas dengan 24 penumpang dalam perjalanan ke Kathmandu dari Birgunj manakala sebuah lagi membawa 41 penumpang menuju ke Gaur di daerah Rautahat dari Kathmandu.

"Kedua-dua bas disyaki terjatuh di Sungai Trishuli. Pasukan penyelamat yang termasuk penyelam telah dikerah untuk mengesan mereka," kata Bhesh Raj Rijal, jurucakap polis daerah, kepada Xinhua.

Iklan

Dalam kejadian lain, seorang pemandu bas terbunuh selepas ditimpa batu di Chitwan di laluan lebuh raya yang sama.

Perdana Menteri Nepal Pushpa Kamal Daha telah mengarahkan pasukan keselamatan menyegerakan usaha menyelamat mangsa. - Bernama-Xinhua

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!