Pengadu kes Papagomo tarik balik laporan

Iklan
Papagomo (kiri) atau nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris tiba di Mahkamah Sesyen pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Selepas dua jam memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini, saksi pertama kes menyebut kata-kata menghasut, mengaitkan kerajaan pro Israel dan barat, menarik balik laporan polis terhadap blogger kontroversi, Papagomo pada Khamis.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Papagomo memaklumkan demikian ketika prosiding perbicaraan yang memasuki hari kedua di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini, laporan polis oleh saksi seorang peniaga, Hisham Sharudin, 42, merupakan pencetus kepada kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

"Oleh itu, saya dengan rendah diri memohon kebenaran mahkamah untuk mengguna pakai Seksyen 425 Kanun Prosedur Jenayah bagi memanggil semula saksi tersebut.

Iklan

"Ini akan memberi keputusan yang adil dalam kes ini,” katanya.

Peruntukan Seksyen 425 menyatakan mahkamah pada mana-mana peringkat perbicaraan (sebelum keputusan akhir) boleh memanggil semula saksi yang sudah selesai memberi keterangan.

Iklan

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata, keengganan Hisham meneruskan laporan polis terhadap tertuduh bukan faktor yang wajar dipertimbangkan untuk menghentikan kes pendakwaan.

"Sekiranya saksi memutuskan enggan memberi keterangan di awal pemeriksaan utama, pihak pendakwaan berhak mengguna pakai Seksyen 357 Kanun Prosedur Jenayah untuk memaksa beliau memberikan keterangan,” katanya.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Siti Aminah Ghazali membenarkan permohonan pembelaan untuk memanggil semula saksi itu.

Prosiding kemudiannya diteruskan dengan memanggil saksi lain.

Pada 8 Januari lepas, Wan Muhammad Azri, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan, pro kepada Israel dan Barat di laman Facebook.

Dia didakwa menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ dan kata-kata itu dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada jam 1 tengah hari, 8 November tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali bersambung 29 Julai ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!