Adik cari abang selepas berpisah sejak lahir

Iklan
Gambar Muhammad Syafiq ketika kecil.

HULU TERENGGANU - Seorang wanita ingin bertemu dengan abang kandungnya setelah terputus hubungan susulan masing-masing diserahkan kepada keluarga angkat sejak lahir.

Menurut Robil Atur Syahirah Mustapha, 24, usaha mencari abang sulungnya itu dilakukan dengan pelbagai cara termasuk hebahan menerusi platform media sosial namun usaha menjejaki lelaki tersebut masih belum menemui sebarang petunjuk.

Iklan
Iklan

"Saya dan abang terpisah sejak dilahirkan berikutan ayah kandung serahkan kami berdua kepada keluarga angkat.

"Saya dibesarkan bersama keluarga angkat di Kuala Berang sehinggalah bertemu semula dengan keluarga sebenar pada 2020 ketika ingin berkahwin. Ketika itu saya mendapat tahu bahawa sebenarnya saya mempunyai seorang abang sulung dan seorang adik kandung perempuan.

Iklan

"Sejak itu, saya berhasrat untuk mencari semula abang kandung namun sehingga kini tidak lagi menjumpainya. Pelbagai ikhtiar dilakukan untuk mengesan keberadaan abang termasuk menghebahkan perkara ini menerusi media sosial," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Robil Atur Syahirah

Robil Atur Syahirah berkata, nama abangnya itu ialah Muhammad Syafiq Mustapha yang kini berusia lingkungan 26 hingga 28 tahun.

Iklan

"Itu nama sebenar abang jika tidak ditukar oleh keluarga angkatnya. Ibu kandung saya ada beritahu kali terakhir abang menetap di negeri ini, namun kami tidak tahu sama ada dia masih menetap di negeri ini atau sudah berhijrah ke negeri lain.

"Saya ada gambar abang masih kecil yang mana ibu saya sempat simpan. Itu sahaja kenangan tentang abang yang masih ada," katanya.

Robil Atur Syahirah berkata, dia dan keluarga sangat berharap dapat bertemu semula dengan abangnya itu.

"Hanya untuk sekali pun tak apa sebab kami sangat merinduinya.

"Walaupun saya tak mengenali abang, tidak pernah pun berjumpa tetapi dia tetap darah daging kami," ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Syafiq Mustapha boleh menghubungi Robil Atur Syahirah di talian 010-2749906.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!