PUTRAJAYA - Pembentangan Belanjawan Madani 2025 dijadualkan pada 18 Oktober depan, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.
Menurutnya, setakat ini tarikh tersebut dipilih dan sebarang pindaan akan dimaklumkan kemudian.
"Insya-ALLAH sidang Parlimen bermula 14 Oktober dan Belanjawan Madani 2025 pula akan dibentangkan pada 18 Oktober," katanya menerusi sidang akhbar di Kementerian Komunikasi di sini pada Jumaat.
Laman sesawang Parlimen turut memaparkan tarikh berkenaan sebagai pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan bermula jam 4 petang.
Sementara itu, Fahmi berkata, Anwar menerusi mesyuarat Kabinet mengarahkan semua menteri agar melaksanakan sesi dialog belanjawan di kementerian dengan penglibatan pemegang taruh dalam sektor di kementerian masing-masing.
"Ini penting memandangkan ia akan dibentang pada pertengahan Oktober nanti, dan ia merupakan belanjawan ketiga yang akan dibentangkan oleh Anwar selepas yang pertama pada Februari 2023 dan kedua pada Oktober 2023,” ujarnya.
Belanjawan 2025 mengetengahkan tema Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera akan dipacu oleh pendekatan Ekonomi Madani.
Langkah tersebut disokong dengan tumpuan terhadap aspek penanda aras disasarkan dalam kerangka Ekonomi Madani, termasuk membolehkan Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia Tenggara.
Anwar sebelum ini dilapor berkata, perencanaan belanjawan tersebut tidak akan lari daripada hala tuju ekonomi negara seperti yang diumumkan sebelum ini, termasuk Pelan Perindustrian Baharu Negara (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!