Keputusan dua Speaker PH serlah helah politik sebenar - Chia Zhen

Iklan
Wong Chia Zhen

ALOR SETAR - Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk tidak mengosongkan kerusi bekas wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerlahkan helah politik sebenar Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wong Chia Zhen berkata, tindakan kedua-dua Speaker dari Pakatan Harapan (PH) itu jelas mencabuli mandat diberikan rakyat kepada PN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, amat dikesali apabila kesemua wakil rakyat terbabit turut mengambil kesempatan atas kepincangan Akta Anti Lompat Parti.

"Keputusan mengejutkan oleh Kerajaan Madani apabila Speaker Dewan Rakyat dan Speaker DUN Selangor tidak mengosongkan kerusi bekas Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu yang membelakangi mandat rakyat.

Iklan

"Tidak masuk akal seorang wakil rakyat boleh kekal berada dalam parti pembangkang dan pada masa sama menyokong kepimpinan parti lain, iaitu Perdana Menteri atau Menteri Besar,” katanya di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Speaker DUN Selangor, Lau Weng San mengumumkan tiada kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari.

Iklan

Sebelum itu, pada Rabu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu menerima surat daripada Johari menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk enam kerusi Parlimen bekas ahli Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Chia Zhen yang juga Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berkata, keputusan itu bukan sahaja mencerminkan ketidakadilan, malah mencabuli prinsip-prinsip demokrasi.

"Tindakan itu ibarat mengkhianati kepercayaan diberikan rakyat kepada wakil-wakil rakyat melalui proses pilihan raya yang sah dan telus.

"Apa bezanya kerajaan PH dengan kerajaan sebelum ini yang mereka dakwa zalim dan tidak adil?” soalnya.

Menurutnya lagi, Akta Anti Lompat Parti digubal untuk mencegah amalan politik tidak bermoral termasuk mengkhianati mandat rakyat.

"Adalah menjadi tanggungjawab Speaker untuk pastikan undang-undang dikuatkuasakan dengan tegas dan adil.

"Namun, tindakan diambil kedua-dua Speaker tersebut seolah ada helah tertentu selain usaha untuk melindungi kepentingan pihak tertentu dengan mengabaikan kehendak rakyat,” ujarnya.

Chia Zhen berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat mengkaji semula keputusannya dan mengambil tindakan sewajar terhadap wakil-wakil rakyat yang melanggar Akta Anti Lompat Parti.

"Kegagalan berbuat demikian hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi demokrasi dan menjejaskan kestabilan politik negara.

"Saya ingin nasihati Kerajaan Madani, jangan kerana kepentingan diri, prinsip digadaikan. Jangan sebab hari ini bergelar kerajaan, kamu boleh buat apa sahaja.

"Mana slogan 'Upholding Rule of Law' keramat itu? Jangan korbankan perjuangan berdekad lalu, akhirnya tiada perubahan ketika berkuasa,” ujarnya.

Tegasnya lagi, pembangkang akan terus berjuang memastikan keadilan ditegakkan dan hak rakyat dihormati.

"Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan perundangan bagi memastikan prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang dipertahankan,” katanya.

Chia Zhen turut bimbang PH akan melakukan apa sahaja demi kepentingan mereka dan ia sudah dibuktikan menerusi beberapa tindakan sebelum ini.

"Mereka yang minta peruntukan ahli Parlimen diberi secara adil, mereka juga yang berat sebelah sekarang. Mereka kecam amalan kroni, mereka juga yang bagi projek kepada suami seorang menteri tanpa tender terbuka.

"Mereka yang mahu menurunkan harga minyak, mereka juga yang menghapuskan subsidi. Mereka mahu diwujudkan Akta Anti Lompat Parti, mereka juga yang melanggarnya,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!