GOMBAK - Sebuah treler yang membawa muatan batu bata dilaporkan terbabas hingga mengakibatkan kemalangan dengan beberapa kenderaan di Kilometer (KM) 27.5 arah barat Genting Sempah ke Gombak pada Jumaat.
Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dalam kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang.
"Terdapat kemalangan di KM27.5 arah barat (Genting Sempah - Gombak) dan tumpahan batu bata dari KM31.6 hingga ke lokasi kemalangan.
"Kemalangan mengakibatkan lorong kecemasan, tengah dan laju terhalang," katanya.
Tambah kenyataan itu, trafik sesak arah barat dari KM38.8 hingga ke lokasi kemalangan, manakala trafik sesak arah timur dari KM23.8 hingga KM29.6.
Berdasarkan paparan video dan gambar yang tular, selain treler, kelihatan kemalangan turut melibatkan kereta serta motosikal.
Namun, punca serta jumlah mangsa kemalangan masih belum diketahui.
Difahamkan juga, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh pihak polis.
AKAN MENYUSUL