SHAH ALAM - Badan Peguam Malaysia mengecam tindakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kerana didakwa memburuk-burukkan profesion undang-undang sekali gus mewujudkan stigma terhadap peguam yang mewakili rakyat Israel terlibat kes jenayah di negara ini.
Yang Dipertuanya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, kenyataan Rafizi membuatkan peguam seolah-olah dilihat seperti memberikan perkhidmatan kepada pembida tertinggi, dan akan melakukan apa sahaja mengikut kemampuan mereka untuk melepaskan klien.
Sedangkan menurutnya, persepsi sedemikian merupakan satu salah faham tentang apa sebenarnya yang berlaku dalam kerja-kerja guaman
"Tugas seorang peguam adalah untuk memberikan suara kepada klien yang memerlukan perwakilan. Peguam perlu membina satu kes untuk klien dalam batas undang-undang.
"Peguam tidak menambah atau menolak fakta sesebuah kes dan hanya bertindak atas arahan klien. Oleh itu, peguam adalah pihak yang berkecuali sepenuhnya.
"Walaupun perlu ada juga rasa simpati terhadap klien untuk membolehkan peguam menghujah kes daripada perspektif klien, ia tidak bermakna peguam mempunyai kaitan dengan kliennya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan tersebut merujuk kepada hantaran media sosial Rafizi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai 2024.
Rafizi dilapor membangkitkan peranan seorang peguam mewakili warga Israel yang berdepan tuduhan berkait senjata api.
Ahli Parlimen Pandan itu juga turut menamakan peguam yang dimaksudkan yang disebut sebagai orang Perikatan Nasional (PN) dalam salah satu ceramah kempen di Sungai Bakap.
Dalam pada itu, Mohamad Ezri berkata, dengan mengulas mengenai peguam tersebut dan klien warga asingnya, Rafizi telah mempertikaikan klien tersebut secara pramatang sebelum kes itu diselesaikan oleh mahkamah.
Jelas beliau, elemen utama hak perbicaraan yang adil adalah hak untuk mendapatkan perwakilan undang-undang.
"Hak ini termaktub dalam Perkara 5, Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan. Ia memastikan bahawa mana-mana orang yang perlu hadir di hadapan mahkamah Malaysia dijamin perkhidmatan peguam.
"Negara lain yang juga mempraktikkan Common Law mengamalkan apa yang dikenali sebagai 'cab-rank rule', iaitu, seseorang peguam tidak boleh menolak untuk mewakili klien yang ingin mendapatkan perkhidmatan mereka, kecuali dalam keadaan yang sangat terhad," katanya.
Tambah beliau, peguam yang dinamakan Rafizi hanya menjalankan tugas dengan memberikan suara kepada kliennya di hadapan mahkamah Malaysia.
"Prinsip kedaulatan undang-undang, yang terkandung dalam Rukun Negara kita, memerlukan sistem keadilan jenayah Malaysia berjalan dengan sewajarnya, tanpa mengira asal usul tertuduh.
"Dengan melakukan yang sebaliknya, samalah seperti memutuskan bahawa tertuduh bersalah sebelum kes itu dibicarakan," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak berhenti memberikan tanggapan yang salah dan membuat sindiran bahawa peguam tidak beretika dalam menjalankan tugasan tetap mereka.
"Peguam seharusnya dapat memberikan perkhidmatan mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan bebas daripada prasangka yang tidak berasas," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!