PUTRAJAYA - Program jerayawara keselamatan dalam talian yang bakal dilancar oleh Kementerian Komunikasi dalam masa terdekat bertujuan memastikan perkhidmatan Internet lebih cepat, murah dan selamat terutama bagi golongan kanak-kanak serta keluarga.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga iurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, program itu akan turut menjadi platform kerajaan dalam menangani jenayah buli siber dan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dalam talian kepada rakyat negara ini.
"Ini satu perkara yang penting, kalau kita lihat kita bukan hanya mahu menangani masalah buli siber tetapi kita mahu Internet digunakan dengan lebih selamat terutama oleh kanak-kanak dan keluarga.
"Dalam usaha ini, kita akan bekerjasama dengan semua kementerian berkaitan termasuk Kementerian Digital; Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Perpaduan dan semestinya Kementerian Dalam Negeri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet di sini pada Jumaat.
Pada Rabu lepas, beliau berkata Kementerian Komunikasi akan melancarkan program itu bagi mempertingkat kesedaran masyarakat di peringkat sekolah dan komuniti tentang kesan buruk Internet.
"Ada beberapa perkara lain yang akan dikenal pasti setelah kita adakan mesyuarat minggu depan. Ini akan diuruskan oleh Kementerian Komunikasi melalui MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) dan kita akan bekerjasama dengan semua kementerian yang saya sebutkan tadi,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mendapat komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bersetuju menempatkan anggota pasukan itu di setiap sekolah bagi memberikan penegasan tentang isu buli siber dan keselamatan dalam talian kepada pelajar sekolah.
"Pada pertemuan di Parlimen beberapa hari lepas, wakil PDRM menyatakan di setiap sekolah ada ditempatkan anggota polis dan kita akan memanfaatkan keberadaan anggota ini,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!