KUALA LUMPUR - Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini mempunyai keistimewaan tersendiri lebih-lebih lagi persiapan yang diatur rapi turut mendapat sentuhan peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, banyak perkara berkaitan persiapan dan peraturan istiadat itu dipantau Seri Paduka Baginda berdua yang mahu segalanya berlangsung dengan sempurna untuk menonjolkan keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.
"Saya ambil contoh sekecil-kecil persiapan kad jemputan, Seri Paduka Baginda berdua memberi sedikit kelainan kad itu warnanya biru Tiffany iaitu warna kegemaran Seri Paduka Baginda.
"Cenderamata pertabalan, pingat pertabalan semuanya dilihat dengan begitu terperinci oleh Seri Paduka Baginda. Boleh saya katakan Seri Paduka Baginda begitu cakna, sangat mengetahui segala perkara," katanya pada program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV malam ini.
Turut serta dalam program itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17.
Azuan Effendy berkata, beliau percaya Sultan Ibrahim juga akan menampilkan keunikan tersendiri pada istiadat yang bakal berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara itu antaranya semasa upacara mempersembahkan keris kerajaan iaitu Keris Panjang Diraja yang melambangkan pemusatan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Menelusuri sejarah istiadat pertabalan sebelum ini katanya setiap Yang di-Pertuan Agong mempunyai cara tersendiri apabila menerima keris berkenaan.
"Ada Yang di-Pertuan Agong yang menjunjung keris itu, ada juga yang membuka sarung keris dan mengucupnya. Ini kita tidak tahu apa yang akan dilaksanakan dan saya percaya kita akan dapat saksikan nanti pada 20 Julai ketika istiadat pertabalan itu berlangsung," katanya.
Selain itu, beliau berkata, istiadat penuh bersejarah itu juga akan diserikan dengan keberangkatan dua Ketua Negara luar iaitu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.
Menyifatkan persiapan istiadat itu seumpama sebuah keluarga ketika mengadakan kenduri kahwin, beliau berkata semua pihak terlibat bertungkus lumus memastikan segalanya berjalan sempurna bagi menyerlahkan keunikan Malaysia sebagai satu-satunya negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir setiap lima tahun.
Mengenai persediaan peribadinya yang juga Ketua Adat Istiadat di Istana Negara, Azuan Effendy berkata, sesi raptai kerap diadakan memandangkan beliau menggalas tanggungjawab berat mempersembahkan beberapa bait perkataan tanpa teks.
"Apabila berada di tengah-tengah (Balairung Seri) dalam kalangan Raja-Raja Melayu yang berangkat hadir dan ketua negara asing juga berangkat, saya sentiasa berdoa kerana kekuatan dalaman itu juga penting untuk melancarkan istiadat.
"Saya tidak boleh buat apa-apa kesilapan, mesti pastikan segala-galanya teratur dan bukan hanya saya, ia kerja berpasukan," katanya.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas. - Bernama.
_________________________________________________________________________
Agong titik rujukan semangat kenegaraan, payungi rakyat - Fahmi
KUALA LUMPUR - Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja simbolik kepada kedaulatan negara malah menjadi titik rujukan semangat kenegaraan yang utuh dan lambang kehidupan harmoni masyarakat majmuk di Malaysia.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, peristiwa penuh bersejarah Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim yang bakal berlangsung pada 20 Julai ini akan memperkuat nilai perpaduan, jati diri dan semangat kenegaraan dalam diri setiap rakyat Malaysia terutama generasi muda.
Beliau berkata, istiadat itu adalah antara bukti keunikan sistem Raja Berperlembagaan dinaungi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara yang memayungi serta menyatukan rakyat dengan rencam budaya dan agama dalam sebuah negara berdaulat, merdeka serta harmoni.
"Peristiwa ini (istiadat pertabalan) mengingatkan kembali masyarakat dan negara bahawa berdirinya Malaysia adalah di bawah payung konsep Raja-Raja Melayu khususnya institusi Yang di-Pertuan Agong.
"Kita mahu pastikan generasi Alfa ini (generasi abad 21) faham bahawa mereka dilahirkan dalam suasana dan dalam satu negara yang penuh dengan adab, adat, budaya, rasa hormat dan ketertiban.
"Apabila mereka menyaksikan istiadat ini, menimbulkan rasa kagum membuatkan generasi muda faham bahawa ada nilai ketinggian atau konsep dalam negara yang meletakkan penghormatan tertinggi kepada Yang di-Pertuan Agong," kata Fahmi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk 'Istiadat Pertabalan Payung Mahkota, Daulat Bertakhta' terbitan Bernama TV yang disiarkan malam ini.
Program itu turut menampilkan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini sebagai panel jemputan.
Edisi khas yang bersiaran selama satu jam itu adalah sempena istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, sistem dan institusi Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tunjang kestabilan negara juga antara faktor utama dalam menarik minat pelaburan asing.
"Dengan adanya sistem ini, tidak timbul isu kestabilan sosial malah memberi keyakinan kepada pelabur bahawa Malaysia sebuah negara yang aman dan damai untuk pelaburan. Di peringkat rakyat juga, ia akan menyuburkan hubungan rakyat dan raja bagaikan akar dan pohon yang saling melengkapi... rakyat dan raja berpisah tiada," katanya.
Beliau juga berkata, liputan media sempena istiadat itu akan dilaksana secara besar-besaran dengan persiapan yang rapi melibatkan semua agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan agensi media.
Fahmi berkata usaha tersebut adalah bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia termasuk mereka yang menetap di luar negara dapat menyaksikan peristiwa bersejarah dan penting itu.
Acara-Acara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula pada 18 Julai ini dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara diikuti Khutbah Jumaat khas yang memberikan penjelasan serta peringatan kepada umat Islam mengenai kepentingan Institusi Raja Berperlembagaan pada 19 Julai.
Masjid di Wilayah Persekutuan dan negeri yang tiada Raja atau Sultan akan menggunakan teks khutbah itu manakala yang lain tertakluk pada perkenan Raja atau Sultan masing-masing.
Pada malam 20 Julai akan berlangsung Majlis Santapan Diraja di Istana Negara.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai manakala Pameran Raja Kita di Muzium Negara diadakan pada 25 Julai sebelum acara-acara sempena Istiadat Pertabalan diakhiri dengan Jamuan Teh Diraja di Istana Negara pada 27 Julai. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!