GOMBAK - Polis menerima laporan daripada ibu kepada pempengaruh media sosial A Rajeswary, 30, atau lebih dikenali Esha berhubung dakwaan wujudnya ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap anaknya membabitkan tiga individu termasuk bekas pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan berkenaan dibuat oleh PR Puspa, 56, iaitu ibu Esha di Balai Polis Selayang pada 6.34 petang Jumaat.
"Laporan terbabit telah dipindahkan ke Balai Polis Setapak kerana kejadian berlaku di PPR (Program Perumahan Rakyat) Gombak Setia dan PPR Gombak Setia di bawah pentadbiran Balai Polis Setapak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Puspa ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Gombak memaklumkan sepanjang minggu ini beliau dimaklumkan oleh anaknya yang lain bahawa terdapat video serta siaran langsung dimuat naik oleh tiga individu berkenaan yang bercakap mengenai Esha.
"Seorang daripada mereka wanita yang juga bekas pegawai polis yang mempertikaikan Esha pernah ditahan polis sebelum ini," katanya.
Bernama sebelum ini melaporkan Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman kondominium di Setapak pada Jumaat lepas, sehari selepas membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini berhubung buli siber yang dihadapinya.
Laporan itu kemudian dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!