KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pada Jumaat menangkap seekor beruang matahari betina di Kampung Sungai Satan, Jeli.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, mereka menerima aduan daripada penduduk Selasa minggu lalu mengenai seekor beruang yang berkeliaran di sekitar kebun di kampung itu.
Mohamad Hafid memberitahu, jabatan itu kemudian bertindak menjalankan siasatan serta memasang perangkap beruang di lokasi itu.
"Operasi pemindahan semula haiwan itu ke habitat sesuai dan lebih selamat akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, pekebun di kawasan berkenaan kini mengakui lega selepas penangkapan beruang itu kerana dapat mengelakkan kerugian akibat kemusnahan tanaman.
"Kita menasihatkan pekebun mengambil langkah mitigasi seperti sentiasa ditemani individu lain jika memasuki kebun dan tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam.
"Penduduk juga perlu memasang lampu di sekeliling rumah pada waktu malam," katanya lagi.
Jelas beliau lagi, pada masa sama, Perhilitan memaklumkan bahawa tangkapan dan pemindahan beruang itu bukan penyelesaian jangka panjang berikutan kawasan berkenaan berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Sator yang menjadi habitat asal hidupan liar.
Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!