ANKARA - Jumlah korban gempa kuat 6.8 magnitud yang menggegar timur Turki kelmarin telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 31 orang, menurut pasukan penyelamat hari ini.
Majoriti kematian itu dilaporkan di bandar Elazig dan empat yang lain di Malatya.
Ketika ini, lebih 3,500 anggota penyelamat sedang bertungkus-lumus menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di bawah runtuhan bangunan walaupun berdepan cabaran suhu sejuk.
Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) memaklumkan lebih 1,600 turut cedera dalam kejadian tersebut.
"Seramai 45 individu masih hidup termasuk seorang wanita bersama anaknya berusia dua tahun berjaya dikeluarkan daripada runtuhan bangunan di Elazig. Dianggarkan 19 lagi masih terperangkap," ujar agensi itu dalam satu kenyataan.
Kelmarin, gempa susulan berkekuatan 5.1 magnitud turut melanda Sivrice.
Bencana yang menimpa Turki menyebabkan Presiden Recep Tayyip Erdogan membatalkan ucapannya di Istanbul semalam dan beliau kemudiannya menghadiri pengebumian di Elazig sebelum melawat Malatya.
Beliau turut berikrar akan melakukan segala yang termampu untuk membantu mereka yang terjejas dalam bencana itu yang disifatkan sebagai satu ujian kepada Turki.
Sebagai respons terhadap insiden itu, puluhan ribu katil, selimut dan khemah telah diagihkan kepada penduduk terjejas gempa tersebut. - AFP