SEPANYOL mungkin berdepan risiko melanggar undang-undang Jerman jika menurunkan ayam tambatan, Lamine Yamal dalam kesebelasan utama pada final Euro 2024 menentang England pada Isnin.
Yamal yang berusia 16 tahun menjadi bualan peminat bola sepak menerusi gol menakjubkan ketika menentang Perancis lalu.
Undang-undang di Jerman tidak membenarkan mereka di bawah 18 tahun bekerja selepas jam 8 malam waktu tempatan.
Namun dilaporkan terdapat pengecualian untuk atlet seperti dimaklumkan oleh Lukas Feww dari Kesatuan Jerman Verdi.
"Sebenarnya ada pengecualian untuk individu berusia 16 dan 17 tahun, tetapi secara teori mereka tidak dibenarkan bekerja selepas jam 11 malam," katanya.
Persatuan Bola Sepak Sepanyol dikatakan sudah dimaklumkan sebelum kejohanan bahawa mereka boleh dikenakan denda 30,000 euro (RM152,872) jika mereka melanggar undang-undang itu.
Situasi itu bagaimanapun bukan berbahaya buat Yamal yang akan berusia 17 tahun pada Ahad ini kerana sudah bermain beberapa perlawanan sebelum ini pada jam 9 malam.
Jurulatih Sepanyol. De la Fuente membuka mulut mengenai spekulasi tersebut bahawa mungkin Yamal akan keluar dari stadium sebelum jam 11 malam.
"Kami semua bertanggungjawab terhadap kesejahteraannya.
"Kami akan melakukan tugas kami dan memberikan peluang dia bermain. Tidak lebih daripada itu,” ujar Fuente.
Seorang peguam, Jonas Warnken pula mempunyai pandangannya sendiri.
"Yamal hanya boleh bermain sehingga jam 11 malam. Denda untuk pelanggaran undang-undang itu boleh dikenakan, namun ia mungkin tidak akan dikuatkuasakan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!