Balik Pulau syurga durian dengan lebih 30 variasi

Iklan
Balik Pulau sememangnya terkenal sebagai syurga durian di kalangan penggemarnya justeru, tidak hairanlah jika ada 'hantu' durian yang sanggup merentas ratusan kilometer ke Pulau Pinang semata-mata mahu merasai kelazatan raja buah itu yang dikatakan tidak terdapat di tempat lain. Foto Bernama

BALIK PULAU - Balik Pulau sememangnya terkenal sebagai syurga durian dalam kalangan penggemar raja buah itu.

Selain rakyat tempatan, pekan kecil yang terletak di belakang Bukit Bendera dan menghadap Selat Melaka itu turut menjadi tumpuan pelancong luar negara yang tidak mahu ketinggalan merasai keenakan lebih 30 variasi durian yang terdapat di situ.

Iklan
Iklan

Musim durian dirai bagaikan pesta apabila puluhan gerai jualan boleh dilihat di sepanjang jalan dengan rata-ratanya dipenuhi pelanggan yang ingin mendapatkan durian segar dibawa terus dari dusun berhampiran.

Pemilik Wong Durian House, James Wong, 59, berkata, dia menerima ramai pelancong antaranya dari China, Hong Kong, Indonesia dan Singapura sejak memperkenalkan konsep pelancongan agro di dusunnya tiga tahun lepas.

Pemilik Wong Durian House, James Wong, 59, mengutip buah durian di dusunnya, Sungai Pinang, Balik Pulau. Foto Bernama

Iklan

"Konsep makan di dusun mendapat sambutan menggalakkan terutama pada hujung minggu.

Saya harap satu hari nanti dapat besarkan ruang untuk pelanggan dan tambah baik lagi fasiliti serta kemudahan untuk keselesaan orang ramai,” katanya ketika ditemui Bernama di dusunnya di Sungai Pinang di sini.

Iklan

Menurut Wong, dusun berkenaan diusahakan datuknya sekitar 1920-an dengan permulaan hanya 50 pokok durian dan telah mencecah 150 pokok pelbagai jenis antaranya Capri, Musang King, Duri Hitam, Udang Merah, D2, D14 dan D15.

Peminat durian menikmati buah durian di Wong Durian House yang terletak di dusun durian, Sungai Pinang, Balik Pulau. Foto Bernama

Kini, Wong Durian House diuruskan generasi keempat iaitu anak lelakinya Wong Yon Wen yang membantu promosi melalui media sosial.

Peniaga durian di Anjung Indah, Mohd Fazli Abdul Rahman berkata, musim durian di Balik Pulau unik dan istimewa berbanding di kawasan lain disebabkan pelbagai variasi buah.

"Tempat lain mungkin ada dua, tiga jenis durian tetapi Balik Pulau ada lebih 30 jenis.

Mohd Shafiq Zainol menunjukkan buah durian yang dijual di Anjung Indah, Balik Pulau. Foto Bernama

Itu yang membuatkan durian Balik Pulau berbeza dengan tempat lain," katanya yang sudah lima tahun berniaga di situ.

Sementara itu pelancong Indonesia yang dikenali sebagai Susan, 48, berkata, dia mengetahui mengenai konsep makan durian di dusun menerusi Facebook dan datang bersama tiga rakannya untuk merasai sendiri suasana alam semula jadi dan keenakan buah itu.

Orang ramai mendapatkan buah durian di Anjung Indah, Balik Pulau. Foto Bernama

Ivy Lau, 40, pula berkata, dia datang dari Kuala Lumpur bersama suami dan kedua ibu bapa bagi merasai keenakan durian Balik Pulau yang disifatkannya berkualiti tinggi dan tidak sama dengan durian di tempat lain.

"Saya lebih suka konsep begini berbanding beli di gerai kerana kita tidak tahu sama ada buah itu segar atau tidak, tetapi di sini kita tahu buah ini datang terus dari dusun," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, tahun ini, musim durian di Pulau Pinang melalui tiga gelombang iaitu pertama Mei hingga awal Jun diikuti pertengahan Jun hingga Julai dan gelombang ketiga dijangka bermula Ogos hingga September.

Pulau Pinang mempunyai lebih 30 variasi durian antaranya Dato Nina (D2), Lipan Bara, Ikan Emas, Kulit Hijau (D165), Tekka (D160), Labu (D163), Lipan, Kunyit, Ang Bak Kia, Khoon Poh (D164), Ais Krim, Lin Feng Jiao, Muntri (D14) dan Yi Dian Hong. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!