Polis sita 81 kenderaan, 114 saman dikeluarkan

Iklan
Sebanyak 250 motosikal dan dua kereta diperiksa dalam operasi khas bersepadu samseng jalanan berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) pada Sabtu.

KEPALA BATAS - Sebanyak 250 motosikal dan dua kereta diperiksa dalam operasi khas bersepadu samseng jalanan berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) pada Sabtu.

Operasi tersebut dijalankan oleh polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang dan JSPT Bukit Aman.

Iklan
Iklan

Ia turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Bantuan PLUS Berhad.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, 81 daripada jumlah kenderaan tersebut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pelbagai kesalahan.

Operasi tersebut dijalankan oleh polis dari JSPT Kontinjen Pulau Pinang, JSPT Bukit Aman serta JPJ, JAS, AADK, Jabatan Imigresen Malaysia serta polis bantuan.

Iklan

Menurutnya, polis turut mengeluarkan 114 keping saman dalam operasi tersebut.

"Operasi bertujuan mencegah aktiviti samseng jalanan seperti lumba haram selain memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Hamzah menambah, selain polis, pihak JPJ juga mengeluarkan 245 notis pemeriksaan kenderaan di bawah Seksyen 61 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain menyita 20 motosikal.

"Pihak JAS Pulau Pinang turut mengeluarkan dua kompaun dan dua notis arahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974.

"AADK menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 98 individu dan hasilnya, sembilan daripada mereka positif pelbagai jenis dadah," katanya lagi.

Sebanyak 250 motosikal diperiksa dalam operasi khas bersepadu samseng jalanan di Lebuhraya BORR, Butterworth pada Sabtu.

Jelas beliau, kolaborasi pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi seperti itu merupakan langkah proaktif untuk mencegah samseng jalanan secara berterusan bagi membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalanan.

"PDRM Kontinjen Pulau Pinang sangat komited menjalankan program advokasi bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Oleh itu, orang ramai khususnya golongan remaja diingatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram atau apa sahaja aktiviti samseng jalanan yang boleh mengancam nyawa diri sendiri dan orang lain," tambahnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!