Pengarah syarikat wanita rugi RM1.25 juta terpedaya 'love scam'

Iklan
Seorang pengarah sebuah syarikat kerugian RM1.25 juta selepas terpedaya dengan sindiket 'love scam’. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah sebuah syarikat kerugian RM1.25 juta selepas terpedaya dengan sindiket 'love scam’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita berusia 60 tahun itu berkenalan melalui Facebook dengan seorang lelaki warga Singapura yang dikatakan menetap di United Kingdom.

Iklan
Iklan

"Dalam perkenalan mereka, wanita tersebut dimaklumkan lelaki itu akan datang ke Malaysia untuk mendapatkan projek sebuah syarikat minyak dan gas serta mahu berjumpa mangsa.

"Bagi mendapatkan projek itu, lelaki tersebut meminta pengadu meminjamkan sejumlah besar wang modal dengan jaminan ia akan dipulangkan semula," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, percaya dengan janji diberikan, wanita itu telah membuat 11 pindahan wang ke dua akaun bank dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1,256,000.

"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, Ramli berkata, sejumlah 792 kes penipuan 'love scam' telah dicatatkan pada 2022 membabitkan nilai kerugian berjumlah RM56,273,793.56.

"Pada tahun lalu, jumlah itu meningkat kepada 935 kes dengan nilai kerugian RM43,920,299.

"Sejumlah 349 kes penipuan love scam telah direkodkan polis dengan nilai kerugian RM12,821,122.53 sejak Januari hingga Jun lalu," katanya.

Ramli berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang berkenalan dengan rakan maya dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai janji-janji manis yang diberikan.

"Ingatlah percintaan melalui media sosial atau platform ‘dating’ dalam talian adalah tidak benar, lebih-lebih lagi apabila satu pihak menabur pelbagai janji dan berterusan meminta wang walau tidak pernah bertemu secara realiti," katanya.

Ramli berkata, pihaknya tidak menolak

kemungkinan bahawa permainan emosi yang digunakan oleh sindiket penipuan itu telah ‘membutakan’ mangsa yang terlibat sehingga mereka menurut segala kehendak dan arahan diberikan.

"Hasil siasatan, sebahagian mangsa mengaku mempunyai pengetahuan perihal modus operandi 'love scam', namun apabila dibuai perasaan, mereka tidak sedar telah terjerumus ke perangkap penipuan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!