SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) didakwa bermain kotor dan berkelakuan tidak jujur terhadap parti dan rakyat hanya disebabkan mahu mengekalkan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, PH merupakan puak yang tidak berkelakuan baik dan sombong.
"Inilah puak jahat dan sombong. Mereka buat onar dan khianat kepada prinsip mereka sendiri dengan menyalahi pihak yang lain.
"Rakyat harus buka mata yang main kotor kini adalah mereka (PH) demi kekalkan dua pertiga sokongan dalam Dewan Rakyat dan mereka takut dengan gelombang rakyat jika tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) ini berlaku!” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilapor kekal mempertahankan keputusan tidak mengosongkan kerusi disandang enam bekas wakil rakyat Bersatu selepas melakukan 'siasatan' termasuk membaca semua kenyataan berkaitan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang menegaskan urusan pindaan perlembagaan Bersatu untuk menghukum ‘pengkhianat’ dibuat dengan teratur dan diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), selari dan selaras dengan peruntukan 49A dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Bersatu tidak memecat ‘katak-katak’ ini seperti didakwa PH sebaliknya keahlian tujuh bekas ahli Bersatu ‘terhenti dengan sendiri’ kerana mereka telah melanggar perlembagaan parti yang telah dipinda.
"Semua wakil rakyat Bersatu patuh dan akur dengan arahan parti. Hanya tujuh pengkhianat ini yang tidak akur dan ini jelas melanggar Perkara 49A selepas parti sahkan keahlian mereka terhenti,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menggesa agar rakyat bangkit dan menolak PH kerana mereka punca demokrasi berparlimen tidak berjalan dengan baik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!