Juruhias majlis edar dadah diberkas

Iklan
Bungkusan dadah yang dirampas.

KUALA LUMPUR - Taktik seorang juruhias majlis menjadikan kondominium mewah sebagai 'stor' untuk menyimpan pelbagai jenis dadah bernilai RM77,947 terbongkar susulan tangkapannya di Cheras, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, lelaki warga tempatan berusia 40 tahun itu ditahan pada jam 12 tengah hari di kawasan tepi jalan sekitar Cheras.

Iklan
Iklan

"Kita turut merampas dadah kanabis anggaran berat 22,675 gram dan erimin 5 seberat 27.75 gram selain wang tunai RM3,000 dan sebuah kereta Honda Insight," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah kondominium di Kajang.

Iklan

"Dalam serbuan itu, kita merampas dadah kanabis seberat 4,290 gram, sebuah kereta Mini Cooper dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard," katanya.

Kenderaan yang berjaya dirampas.

Ujarnya, suspek yang bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini menjadikan kondominium mewah serta dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah bagi mengaburi dan menyukarkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Iklan

"Bekalan dadah itu dipercayai diperolehi daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur untuk pasaran di sekitar Lembah Klang," katanya.

Menurutnya, hasil semakan lanjut mendapati lelaki itu tiada rekod jenayah.

"Ujian urin mendapati suspek positif dadah benzo," ujar.

Ravindar Singh berkata, suspek direman selama enam hari sehingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pihak polis turut mengalu-alukan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-92050222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!