KOTA TINGGI - UMNO Bahagian Tenggara mengusulkan agar pucuk pimpinan mengkaji kembali hubungan dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan kini.
Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, hubungan tersebut penting dilihat semula untuk kelangsungan politik UMNO terutama untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Selain itu, UMNO Tenggara turut meminta agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti sebelum ini, perlu dipertandingkan semula pada pemilihan akan datang.
"Kedua, parti perlu menunaikan janji untuk membebaskan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang kini dipenjarakan kerana banyak jasanya kepada negara. Ketiga, lihat kembali hubungan UMNO dan DAP serta PH," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sri Sayong, Felda Sungai Sayong di sini, pada Sabtu.
Adham yang juga bekas Menteri Kesihatan menambah, UMNO Tenggara sudah mempunyai pelan strategi untuk jentera bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Jelasnya, Parlimen Tenggara yang mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja dan Panti yang merupakan deposit tetap UMNO setiap kali pilihan raya diadakan.
"UMNO berazam untuk mengekalkan kedudukan di kerusi Parlimen dan juga kedua-dua DUN ini. Oleh itu, perancangan juga dibuat khususnya dalam menggerakkan jentera dan mendekati golongan muda," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!