Pendidikan jiwa, akhlak kekang budaya buli MRSM

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini.

TAIPING - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mempergiatkan program yang memberi penekanan terhadap pendidikan jiwa dan akhlak bagi mengekang budaya buli terutama melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengisian program seumpama itu penting bertujuan menanam nilai hidup bermasyarakat dan dapat memahami serta menerima individu lain seadanya.

Iklan
Iklan

"Kita tidak mahu lahirkan robot-robot bernyawa yang cerdik dan boleh buat apa sahaja yang diperlukan tetapi tidak ada roh, tidak ada jiwa.

"Sebab itu pembentukan watak dan akal ini mesti disekalikan. Itulah tujuan mereka duduk di asrama supaya dapat dilatih hidup bermasyarakat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Taiping 2024 di Hotel Taiping Perdana di sini pada Sabtu.

Beliau turut memberi peringatan kepada semua pihak agar mana-mana isu yang terkait dengan masalah disiplin terutama buli yang berlaku di institusi pendidikan Mara tidak disorok atau ditutup.

Iklan

Katanya, pendedahan perlu dilakukan agar mereka yang terlibat dikenakan tindakan dan mangsa yang dibuli memperoleh perlindungan sewajarnya.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung UMNO itu meminta siasatan menyeluruh dilakukan sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam insiden buli di sebuah MRSM baru-baru ini.

"Kita dah dapat laporan penuh, cuma saya minta dilihat pada semua aspek kerana kita tak nak berlaku ketidakadilan kepada sesiapa," katanya.

Sebelum ini, seorang pempengaruh serta pakar kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman menerusi laman Facebook berkongsi satu tangkap layar meminta Asyraf Wajdi mengambil tindakan terhadap insiden yang diadukan seorang ibu, mengatakan anak lelakinya pelajar Tingkatan Satu yang menuntut di sebuah MRSM menjadi mangsa buli pelajar Tingkatan Lima.

Sebagai respon, Asyraf Wajdi memaklumkan pengurusan MRSM terlibat telah diberi tempoh sehingga Jumaat bagi menyediakan laporan berhubung kes itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!