KOTA BHARU - Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas dalam kemalangan di Kampung Rahmat, Rantau Panjang pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 32 tahun dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke Rantau Panjang.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati, ketika tiba di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal BMW S 1000 RR melalui satu selekoh di kanan jalan.
"Bagaimanapun, lelaki itu gagal mengawal motosikal lalu terbabas sendirian di bahu jalan sebelah kiri.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelas beliau, mayat dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
"Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaan ketika menuju ke selekoh kanan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.
Kama Azural memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Pasir Mas di talian 09-7900280.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!