SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengutamakan keselamatan rakyat berhubung isu penularan wabak koronavirus berbanding Tahun Melawat Malaysia 2020.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan perlu meletakkan keutamaan ketika berhadapan dengan krisis seumpama ini memandangkan hampir kesemua pintu masuk utama ke Malaysia menerima kehadiran pelancong China.
Menurutnya, sekiranya kerajaan lambat bertindak, rakyat dikhuatiri akan menanggung masalah sebagaimana kejadian tahun lalu di Pasir Gudang sehingga menyebabkan ramai pihak menerima kesan akibat pencemaran Sungai Kim Kim berpunca daripada sisa bahan kimia.
"Justeru, kerajaan perlu mempertingkatkan tahap keselamatan di semua pintu masuk ke Malaysia dengan membuat saringan lebih ketat terhadap kemasukan pelancong atau sesiapa juga yang datang dari negara berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Wabak koronavirus di Malaysia belum serius: Tun M
"Kerajaan China sendiri telah mengadakan sekatan kepada jutaan rakyatnya di wilayah Wuhan, China dan segala bentuk pengangkutan ke daerah itu dihentikan.
"Ini menunjukkan betapa seriusnya wabak koronavirus apabila Reuters turut melaporkan bahawa wabak ini mula merebak ke wilayah lain termasuk Beijing dan Shanghai dan ia membimbangkan pelbagai pihak," katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Shamsul Anuar turut meminta kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM), jabatan atau agensi lain yang berkaitan bertindak segera, selain menyalurkan segala maklumat berkaitan kepada rakyat.