KOTA KINABALU - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuai Konvoi Jelajah Road To MAHA @Sabah 2024 yang akan menjelajah ke beberapa lokasi pertanian di Sabah selama tiga hari bermula hari ini.
Penganjuran konvoi ke Kota Kinabalu, Kota Belud, Kundasang, Telupid dan berakhir di Sandakan itu adalah bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang akan berlangsung pada 11 hingga 22 September di MAEPS, Serdang, Selangor.
KPKM dalam satu kenyataan berkata, bersempena tema MAHA pada tahun ini, ‘Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom’ atau dalam bahasa Melayu ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’, mencerminkan aspirasi KPKM untuk menuai kejayaan di masa hadapan dengan usaha dan inovasi yang diterokai pada hari ini.
"Ia juga menekankan kepentingan inovasi dalam memastikan keterjaminan makanan untuk negara. Dengan cabaran perubahan iklim, peningkatan populasi dan ketidakstabilan pasaran global, KPKM perlu terus mencari jalan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam sektor pertanian.
"Tema ini juga membawa maksud bagi meraih masa depan pertanian yang lebih maju dan inovatif pada prospek penganjuran MAHA kali ini. Justeru program Konvoi Jelajah ini dilihat amat signifikan untuk meningkatkan aktiviti promosi serta memberi kesedaran awal kepada kumpulan sasar terutamanya rakyat Sabah berkaitan MAHA 2024,”jelasnya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurutnya, sepanjang tiga hari ini, Menteri KPKM dijadualkan akan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di Kota Belud, Desa Dairy Farm di Kundasang dan usahawan pertanian di sekitar daerah Ranau.
"Pada hari kedua beliau dan peserta konvoi akan ke Telupid bagi menghadiri program Walkabout Tamu Pekan Telupid dan Penyerahan Pasar Tamu sebelum meneruskan perjalanan ke tapak Majlis Perasmian Road To MAHA @Sabah 2024 di Sandakan.
"Pada sebelah malam, Mohamad Sabu akan menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Sandakan, dan pada hari berikutnya beliau akan menghadiri Program Ramah Mesra MADANI Bersama Nelayan Sandakan,”katanya.
KPKM berkata, misi dan objektif program jelajah itu adalah untuk mempromosikan MAHA 2024 sebagai satu ekspo pertanian terbesar merangkumi pameran teknologi terbaharu, pemodenan dan pertanian pintar serta solusi hijau yang akan menentukan arah baru sektor agrikultur Malaysia.
"Bermula pada tahun 1923, MAHA merupakan pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara. Melangkaui satu abad penganjuran, MAHA kini telah menjadi pameran sektor pertanian yang sentiasa dinanti oleh segenap lapisan masyarakat kerana membawa elemen teknologi terkini dan penekanan pameran bersifat interaktif dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
"Menerusi siri pameran yang pernah dianjurkan, MAHA telah menjadi pemangkin untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di Malaysia,”katanya.
Sempena 100 tahun penganjuran MAHA, ia akan memberi penekanan kepada elemen yang akan mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan serta penyertaan daripada pelbagai negara, selain mencetus pembangunan daya tahan dalam sektor keterjaminan makanan serta menarik minat golongan muda untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sumber pendapatan utama.
Program Konvoi Jelajah Road To MAHA @Sabah 2024 yang dilaksanakan itu turut melibatkan penganjuran Program Jualan Agro MADANI, Mini MAHA dan Rhytym Of The Farmers di Dataran Harbour Mall, Sandakan sebagai pengisian.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Arthur Joseph Kurup, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua-Ketua Jabatan, Agensi Persekutuan dan Negeri serta pegawai-pegawai kanan kementerian.