ISN guna khidmat Dr Jeffrey pantau situasi Azizulhasni di Olimpik Paris

Iklan
ISN bawa pakar jantung pantau Azizulhasni ketika berlumba di Sukan Olimpik Paris 2024.

INSTITUT Sukan Negara (ISN) akan menggunakan khidmat pakar jantung, Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon untuk memantau situasi jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang ketika berlumba di Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, tindakan itu dilakukan sebagai persediaan sekiranya situasi luar jangka berlaku kepada atlet berusia 36 tahun itu atau mana-mana atlet negara yang bertanding di temasya berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kami juga mengambil langkah tambahan dengan membawa pakar jantung ISN, Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon untuk menyertai kontinjen sebagai sebahagian daripada pasukan perubatan ISN.

"Langkah yang kita lakukan ini amat penting untuk memantau keadaan jantung Azizulhasni sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini. Ini adalah komitmen kami untuk memastikan Azizulhasni dan semua atlet, dijaga dengan rapi sepanjang berada di Sukan Olimpik,” katanya kepada media hari ini.

Iklan

Terdahulu, Dr Jeffery merupakan antara individu penting bersama-sama dengan pakar perunding bedah kardiotorasik Australia, Dr Aubrey Almeida yang bertanggungjawab memulihkan dan mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah jantung dialami The Pocket Rocketman itu.

Pemenang pingat perak keirin lelaki Tokyo 2020 sebelum ini disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA).

Iklan

Atlet kelahiran Terengganu itu telah menjalani pembedahan pembetulan selama tiga jam pada 21 April 2022 bagi merawat penyakit itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!