PEKAN - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika menangkap ikan di Sungai Pahang di sini pada pagi Sabtu.
Mangsa, Muhammad Danial Fakhrullah Mohd Azri merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9 pagi dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.
Menurutnya, bapa mangsa mengesahkan bot yang berada di tengah sungai adalah miliknya.
"Bot itu telah dinaiki anaknya dan ayah mangsa memberitahu anaknya biasa mencari ikan di Sungai Pahang berhampiran Kampung Belimbing," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, susulan itu, operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) diaktifkan bagi mencari mangsa.
Jelasnya, seramai 11 anggota termasuk pegawai bomba terlibat dalam operasi berkenaan.
"Pihak kita turut membantu dengan menghantar seorang pegawai dan 10 anggota, manakala Angkatan Pertahanan Awam pula seramai sembilan orang.
"Beberapa penduduk Kampung Belimbing dan Kampung Orang Asli Tanah Merah juga membantu," katanya.
Operasi SAR pencarian mangsa masih diteruskan.