PRK Nenggiri: UMNO Gua Musang kemuka nama tiga calon muda

Iklan
Tengku Razaleigh ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang 2024 di Balai Rakyat Bukit Cekati Gua Musang pada Sabtu. Foto Bernama

GUA MUSANG - UMNO Gua Musang menyenaraikan nama tiga calon muda untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi memilih individu yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, keputusan itu dilakukan berdasarkan kriteria yang diinginkan parti, selain mengambil kira faktor pengundi daripada golongan muda di DUN Nenggiri sebanyak 62.5 peratus.

Iklan
Iklan

"Kita rasa orang muda patut ambil bahagian dalam PRK DUN Nenggiri ini. Kita yakin keputusan ini tepat kerana sebanyak 62.5 peratus pengundi terdiri daripada golongan muda.

"Kita telah mencadangkan tiga nama yang kesemuanya adalah calon muda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini pada Sabtu.

Iklan

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi. - Bernama

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!