[DIKEMAS KINI] PERAK FC gagal memanfaatkan peluang bermain di hadapan lebih 5,000 penyokong dalam saingan Liga Super apabila tewas kepada Penang FC 0-2 di Stadium Perak pada Sabtu.
Minit awal perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah bermula garang apabila berjaya menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan ke gawang lawan.
Peluang pertama tiba pada minit ke-5 menerusi rembatan di luar kotak penalti kapten pasukan, Luciano Guaycochea namun tersasar ke sebelah kanan gawang.
Berselang dua minit kemudian Clayton Da Silva berjaya mencemaskan gawang Penang FC namun penjaga gol Sikh Izhan Nazrel berjaya menampan keluar bola hasil percubaan berkenaan.
Kad pertama perlawanan dilayangkan pengadil, Zamzaidi Katimin ke atas pemain Perak FC, Sunday Afolabi pada minit ke-13 selepas mengasari pemain lawan.
Perak FC mendapat satu lagi peluang pada minit ke-25 menerusi Jasper Nyholm yang hampir menghadiahkan gol, namun tendangannya sekadar melepasi palang gol.
Pasukan pelawat juga tidak ketinggalan berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-40 menerusi pemain mereka, Adib Ra'op namun sepakannya gagal memperdaya penjaga gol Perak FC, Ramdhan Ab Hamid yang berjaya menangkap kemas bola.
Dua minit berselang, giliran Adib pula dilayangkan kad kuning kedua perlawanan selepas mengasari pemain tuan rumah, Aiman Khairul Yusni.
Ketika perlawanan dalam masa tambahan, Penang FC dihadiahkan sepakan percuma selepas rembatan Syamer Kutty Abba terkena tangan pertahanan Perak FC, Luiz Motta.
Neto Oliveira tidak mensia-siakan peluang berkenaan apabila berjaya menjaringkan gol menewaskan penjaga gawang Perak FC, sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan 0-1.
Bersambung babak kedua, Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah membuat dua pertukaran pemain dengan memasukkan Azalinullah Alias dan Adilet Kanybekov bagi menggantikan Afolabi dan Firdaus Sayadi.
Penang FC dilihat lebih banyak mengasak ke kubu tuan rumah dengan beberapa serangan bertali arus bagi menambah lagi jaringan sedia ada.
Perak FC pula cuba mengatur gerak namun beberapa perancangan dilakukan gagal membuahkan hasil serta serba tidak menjadi.
Tuan rumah membuat dua lagi pertukaran serentak pada minit ke-73 dengan mengeluarkan Wan Zack Haikal dan Afif Asyraf dengan diganti Tommy Mawat Bada dan Nur Azfar Fikri.
Ketika perlawanan menuju penamat, Penang FC menambah derita Perak FC apabila menambah jaringan kedua menerusi pemain gantian Alif Ikmalrizal Anuar.
Tamat perlawanan menyaksikan Penang FC menewaskan tuan rumah 0-2 sekali gus menjadi kemenangan pertama Penang FC selepas tiga seri dan satu kekalahan dalam kesemua perlawanan Liga Super sebelum ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!