SHAH ALAM - Bekalan topeng hidung dan mulut di beberapa buah kedai serbaneka di Shah Alam masih mencukupi susulan penularan wabak koronavirus di beberapa buah negara.
Menerusi tinjauan Sinar Harian, kebanyakan kedai masih menjual topeng berkenaan seperti biasa malah tiada sebarang pembelian panik daripada pengguna.
Menurut seorang pekerja kedai serbaneka, P Mahadeva, 18, berkata, jualan topeng muka masih seperti biasa walaupun isu koronavirus disebut setiap hari.
"Jualan topeng muka buat masa ini masih seperti hari-hari biasa. Kebanyakan topeng muka ini hanya dibeli pekerja-pekerja kontraktor," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan empat kes wabak koronavirus dilaporkan positif di Malaysia.
Sementara itu, menurut seorang pemilik kedai runcit, Ahmad Rosli Sakiman, 48, jualan topeng hidung dan mulut di premisnya juga sama seperti hari-hari biasa.
"Buat masa sekarang, masih belum ada pelanggan yang datang beli topeng muka dengan jumlah banyak untuk dibuat simpanan.
"Kebanyakannya topeng muka dibeli ibu bapa untuk kegunaan anak-anak mereka yang tidak sihat dan demam sahaja," katanya.
Dalam pada itu, seorang pekerja kedai serbaneka, Aliah Mohamad, 22, berkata, jualan topeng muka di kedainya mendapat sedikit sambutan sejak minggu lalu.
"Memang ada sedikit peningkatan jualan topeng muka sejak minggu lalu namun bekalannya masih mencukupi untuk pelanggan," katanya.