CADANGAN untuk menubuhkan sebuah pertubuhan Pengkritik Sastera Malaysia telah mendapat sambutan yang menggalakkan.
Rata-rata respons dan reaksi daripada penulis, pengkritik serta pengkaji sastera Malaysia sangat positif, memberikan kewajaran mengapa perlu pertubuhan tersebut direalisasikan dengan segera.
Malah, ada yang bersedia untuk memulakan inisiatif bagi menggerakkan penubuhan tersebut.
Profesor Dr Mohammad Haji Salleh S N amat bersetuju dengan penubuhan Persatuan Pengkritik Malaysia itu.
Sewaktu dihubungi, Sasterawan Negara ini yakin bahawa dengan berbuat demikian, kegiatan kritikan dapat diangkat dan boleh menjadi pemangkin kepada dunia lebih aktif berbanding kelembapan yang dialami sekarang ini.
Sasterawan Negara itu berharap anak-anak muda yang terdiri daripada penulis dan pengkritik patut menyambutnya serta menggerakkannya bersama-sama.
Inilah peluang yang baik untuk mengaktifkan dunia kritikan dan mengangkat martabat sastera Melayu ke arah lebih bermaruah.
Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari juga amat bersetuju. Ia sebagai usaha untuk mengembalikan zaman prolifik bagi kritikan untuk dekad-dekad 1960-an dan 1970-an yang lalu. Tidak mustahil kritikan sastera kembali subur dan cemerlang.
Ketua Bahagian Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka, Saifullizan Yahaya, seorang pengkritik dan penulis cerpen menyatakan:"Itu adalah cadangan yang sangat baik dan sesuai dengan keadaan kritikan kita yang lembap dewasa ini.”
Beliau mengharapkan dengan adanya persatuan, pengkritik dapat berkumpul dan bergerak untuk mencari jalan bagaimana hendak memakmurkan dunia kritikan itu.
Berkongsi pendapat, Dr Hanafi Ibrahim, seorang penilai sastera:"Ini perkara yang baik.” Beliau sudah lama berasakan betapa perlunya pengkritik mencari jalan secara lebih progresif dan berkesan untuk mengatasi suasana kritikan yang bermasalah.
Pengkaji dan pengkritik sastera, Nur Muhamad Fansuri pula menyatakan bagi mengukuhkan gerakan persatuan pengkritik itu, ia perlu didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan untuk berdiri dengan perlembagaannya sendiri.
Saudara Hamzah Hamdani yang pernah terlibat dengan penubuhannya tahun 1990-an dahulu, sememangnya Persatuan Pengkritik Sastera Malaysia berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan mempunyai perlembagaannya sendiri.
Beliau bersedia untuk membantu membina perlembagaan yang baru untuk persatuan pengkritik yang baharu itu.
Dr Saipuddin Suliman, pensyarah sastera di Universiti Malaysia Kelantan, pertubuhan itu boleh mengatur kegiatan dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti menganjurkan bengkel-bengkel teori dan kritikan.
Kita memang kekurangan pengkritik. Banyak karya yang dihasilkan tidak mendapat sentuhan kritikan. Dengan itu, kita tidak tahu apakah nilai teks tersebut dan apakah pencapaian pengarang.
PELAPIS
Sememangnya permasalahan besar bagi dunia kritikan sastera Melayu ialah kurangnya pengkritik dalam kalangan pelapisnya. Sejak dahulu lagi sudah dipolemikkan, mengapa hal tersebut terjadi.
Salah satu sebabnya ialah pihak universiti gagal menyediakan ruang untuk siswazahnya menurunkan untuk menjadi pengkritik.
Ketidak-aktifan atau ketiada-pedulian sebahagian besar mahasiswa kita itu dengan budaya sastera setelah bekerja, menjadi suatu fenomena yang menjadikan harapan kita untuk melahirkan kritikawan berijazah seperti pungguk rindukan bulan.
Selama empat tahun mereka mempelajari dan dibekali pelbagai teori kritikan sastera melakukan kajian dan sebagainya sehingga kemudiannya bergelar siswazah sastera tetapi malangnya semua itu tidak membantu kebekuan dalam melahirkan kritikawan baharu.
Kita selalu mengharapkan merekalah yang akan menjadi pelapis, sama ada sebagai pengkritik, juga penulis tetapi rupa-rupanya seperti yang diketahui umum, meskipun banyak institusi yang menyediakan kursus penulisan kreatif dan deskriptif, mengajar teori-teori sastera moden serta pascamoden, sayangnya sangat sedikit bilangan yang menceburkan diri dalam kegiatan sastera, lebih-lebih lagi dalam bidang kritikan.
Dunia sastera mengalami kehilangan atau ketidak-pedulian lagi dalam kalangan para siswazah itu dan ia terjadi tahun demi tahun.
Seolah-olah tugas mereka terhadap dunia sastera tamat setelah bekerja dan membiarkan segala teori kritikan dan kajian lusuh begitu sahaja di kertas ijazah.
Harapan kita untuk melihat dalam kalangan mereka muncul sebagai pengkritik nampaknya tidak terkabul. Melahirkan pengkritik yang cukup iltizam kini hampir-hampir begitu mendesak.
Kita sangat kekurangan pengkritik. Sesungguhnya sekian lama kita gagal melahirkan kritikawan yang baharu dan berwibawa. Di manakah silapnya?
Tidaklah mustahil suatu masa nanti, kita bukan sahaja ketandusan pengkritik, malah mungkin tidak ada lagi pengkritik yang berwibawa.
Para pengkritik kita dewasa ini boleh dikatakan sudah memasuki dunia veteran, malah ada yang bersara. Keperluan melahirkan pengkritik baru sudah sampai ke tahap peringkat wajib.
Dengan penubuhan Persatuan Pengkritik Sastera ini, adalah usaha yang positif untuk melahirkan pengkritik muda itu, insya-ALLAH akan berjaya.
Ramai yang bersetuju persatuan tersebut perlu bebas daripada mana-mana naungan dan bergerak sebagai sebuah persatuan yang berperlembagaan.
Tentu sahaja kehadirannya bukanlah sebagai tentangan kepada persatuan-persatuan yang sedia ada tetapi sebagai pelengkap dan pengisi kekosongan.
Masing-masing bergerak di landasan sendiri-sendiri. Lagi pun, para pengkritik pun mempunyai masalah dan kepentingan yang berbeza dengan penulis.
"Langkah yang baik ialah kita mengadakan pertemuan dan membincangkan penubuhannya,” begitulah pandangan pengkritik, Nur Muhamad Fansuri.
Ramai para sahabat yang bersetuju dengan pandangan pengkritik Nur Muhamad Fansuri itu. Usaha yang baik patut didahulukan. Kitalah patut menjadi pemula tenaga penggeraknya. Saya fikir pun begitu juga.
Dalam masa terdekat ini, kita patut usahakan suatu majlis pertemuan sebagai langkah pertamanya.
Mengikut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, sekurang-kurangnya tujuh orang untuk membolehkan sesebuah pertubuhan itu didaftarkan.
Bersama Saifullizan Yahaya, Hanafi Ibrahim, Saleeh Rahamad, Mohamad Shahidan, Saipuddin Suliman, Nur Muhamad Fansuri, Mohd Shahrun Nizal Nohd Nor dan sahabat-sahabat yang bersimpati dengan gerakan tersebut, Persatuan Pengkritik Sastera Malaysia, insya-ALLAH dapat ditubuhkan.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia