ISU buli siber yang sudah lama berlaku sejak bermulanya era teknologi internet terutamanya media sosial semakin tidak terkawal.
Umpama kebal dalam dunia digital, para pengguna media sosial seolah-olah semakin berani dalam menyampaikan pandangan dan komen tanpa menghiraukan batas-batas yang ada.
Lebih-lebih lagi, memandangkan platform digital membolehkan komunikasi tanpa perlu bersemuka dengan orang lain, netizen tanpa serba salah menyalahgunakan media sosial yang ada dengan mengeluarkan komen-komen negatif sehingga melukakan hati orang lain tanpa sedar.
Pada 5 Julai, seorang pempengaruh TikTok, Rajeswary Appahu atau Esha, 29, dilaporkan meninggal dunia dipercayai tertekan akibat dibuli di media sosial sehingga mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Namun apa yang ingin ditumpukan dalam konteks kali ini ialah melibatkan soal cadangan yang diutarakan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada Sabtu.
Gobind menyarankan supaya satu akta undang-undang baharu dipertimbangkan bagi meletakkan tanggungjawab ke atas pemilik platform media sosial bagi kes penyalahgunaan termasuk melibatkan buli siber.
Ujar beliau, signal jelas perlu dihantar bagi menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam mencari jalan penyelesaian untuk permasalahan tersebut dan semua pihak yang berkaitan mempunyai peranan penting bagi tujuan itu.
Katanya, beliau bersama Fahmi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membangkitkan mengenai isu buli siber tersebut ketika mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
Sudah pasti cadangan berkenaan akan menjadi perbincangan menarik untuk dibangkitkan dalam kalangan pihak berkepentingan serta masyarakat di negara ini.
Tiba masa untuk isu serius seperti buli siber diketengahkan dalam sistem perundangan memandangkan negara akan beranjak kepada era baharu digital termasuk kecerdasan buatan (AI).
Ini menjadi kayu ukur penting terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan mereka yang menyalahgunakan platform media sosial untuk buli siber dikenakan hukuman setimpal.
Sekali gus memberi amaran kepada pembuli siber di mana-mana platform digital bahawa mereka tidak boleh lagi berselindung di sebalik alasan kebebasan bersuara, sebaliknya perlu dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!