BANDARAYA Alor Setar berusia lebih 200 tahun dan memiliki nilai sejarah tinggi, selain masih mengekalkan ciri-ciri bangunan warisan.
Bagi merancakkan semula keberadaan bandaraya ini dalam pelbagai sektor, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menjenamakan semula Alor Setar, antaranya melalui kempen ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ yang dilancarkan pada Disember lalu.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, ROSLINDA HASHIM bersama Datuk Bandar Alor Setar, DATUK MOHD YUSRI MD DAUD untuk mengetahui hala tuju negeri ini.
SINAR AHAD: Kempen ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ sudah memasuki pertengahan tahun. Adakah program ini berjaya mencapai sasaran?
MOHD YUSRI: Program ini berjaya mencapai sasaran seperti dirancang. Kesannya, ramai penganjur acara berminat jalin kerjasama dalam penganjuran program bersama MBAS.
Setiap program dirancang dilaksanakan dengan jayanya termasuk kehadiran ramai pengunjung. Ia disebabkan promosi kempen ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ dilakukan menerusi pelbagai platform seperti papan iklan dalam dan luar Alor Setar, iklan dalam kereta api, media sosial serta penggunaan tanda pagar #maisinggahalorsetar2024 oleh kebanyakan agensi, individu mahupun NGO dalam perkongsian media sosial seperti Facebook.
Platform antarabangsa tidak terkecuali, antaranya Tourism Promotion Organization (TPO) beribu pejabat di Busan, Korea.
SH: Bagaimana tercetusnya idea untuk mewujudkan kempen ‘Mai Singgah Alor Setar’?
Idea ini tercetus apabila status Alor Setar sebagai bandaraya menginjak usia 20 tahun pada tahun lepas. Kita perlu pamerkan keunikan Alor Setar dan ia suatu keperluan, dan dilancarkan ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ pada Disember tahun lalu.
Tambahan pula tahun depan diadakan Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025), jadi kita akan sambung lagi tagline baharu, ‘Mai Singgah Alor Setar lagi’ untuk bantu rancakkan TMK 2025.
Ia juga selari dengan Rancangan Tempatan MBAS 2035, yang kini memasuki fasa kedua (2024 -2029) untuk pastikan setiap perancangan dipenuhi.
Oleh itu, kita mahu Alor Setar ada perubahan dalam tempoh lima tahun terutama dalam menuju ke arah bandaraya berdaya huni.
SH: Adakah program tersebut berjaya tarik kunjungan pelancong ke Alor Setar?
‘Mai Singgah Alor Setar’ membawa maksud ‘mai singgah sekejap’ atau ‘mai lalu sat’. Walaupun tidak menginap, hanya datang ke Aman Central juga dikira sebagai data pengunjung.
Data diperoleh daripada Tourism Malaysia yang mengumpulkan data pengunjung menginap di Alor Setar dengan perincian domestik dan luar negara.
Pada 2022, pelancong luar negara seramai 16,007 orang meningkat kepada 24,912 orang (2023). Pengunjung domestik tidak menunjukkan perbezaan ketara iaitu 662,894 orang (2022) dan 600,796 orang (2023).
Saya percaya jumlah kehadiran pelancong domestik mahupun luar negara tahun ini akan meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
SH: Apakah program ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ dalam masa terdekat?
Program terdekat ialah ‘Alor Setar Liveable City Conference’ pada 23 Julai, antaranya berkaitan bandar pintar dan bandar mampan disertai semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negara serta terbuka kepada luar negara. Ia membuktikan pelancaran kempen ini meluas kepada pelbagai sektor, bukan pelancongan semata-mata.
SH: Apakah sasaran tertumpu kepada pelancong dari sempadan negara, Thailand atau meliputi Asia Tenggara?
Kita tidak menyasarkan hanya pelancong Thailand dan Indonesia, sebaliknya meluas hingga negara Asia Tenggara melalui program dijadualkan.
Terdapat pelancong dari Australia, Korea dan Jepun berkunjung ke Pusat Penerangan Pelancongan di Medan Bandar untuk dapatkan maklumat pelancongan.
SH: Bagaimana kempen tersebut menjana sektor pelancongan Alor Setar, seterusnya merancakkan aktiviti hiliran setempat?
Pelaksanaan program dan aktiviti yang dirancang berjaya menjana ekonomi setempat, antaranya penginapan hotel, inap desa dan motel. Ia termasuk sektor makanan dan jualan reruai yang mendapat sambutan.
Pada April lalu diadakan kayuhan Sawadee melibatkan 350 peserta basikal dari Thailand dan Malaysia menginap di Alor Setar. Pada Mei diadakan Fiesta 3R melibatkan orang awam dan terbaharu Mesyuarat Jawatankuasa Pihak Berkuasa Tempatan Zon Utara.
Kesemua program menyebabkan limpahan ekonomi setempat, merancakkan lagi kempen ‘Mai Singgah Alor Setar’ secara tidak langsung memanfaatkan penganjur acara terlibat dalam jualan bazar seperti Lorong Pekan, Lorong Kereta api, Lorong Pekan Rabu dan Lorong Setar yang menarik kunjungan ramai.
Ia turut menggamit kehadiran penganjur karnival berskala besar seperti Karnival Sambutan Ulang tahun Bandaraya Alor Setar, selain karnival yang sering diadakan di Stadium Darul Aman dan Taman Jubli Emas. Kemeriahan acara ini membawa orang ramai singgah ke Alor Setar.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, banyak permohonan diterima untuk anjurkan program sama ada peringkat antarabangsa, kebangsaan atau lokal, yang mahu jayakan bersama program ‘Mai Singgah Alor Setar’.
SH: Bagaimana kempen ini menyumbang kepada TMK 2025?
Kempen ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ beri gambaran awal kepada pengunjung untuk datang lagi ke Kedah. Ia beri impak positif kepada pengunjung untuk bersama-sama TMK 2025 untuk lebih kemeriahan selepas kunjungan awal tahun ini.
Selepas penjenamaan semula Alor Setar, kita mahu meriahkan lagi bandar raya ini dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya hidupkan suasana malam dengan aktiviti sihat, selain galak anak muda berkecimpung dalam perniagaan kiosk.
Kempen serampang dua mata ini bukan sahaja eratkan hubungan kekeluargaan, malah mencambahkan perniagaan. Promosi hendaklah berterusan, diharap inisiatif ini dapat bantu lonjak TMK 2025.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!