SHAH ALAM - Karnival Rakyat Karangkraf 2024 yang bermula 26 hingga 28 Julai ini menyediakan lebih 35 ruang pameran buat pengiklan Sinar Harian bagi membantu melonjakkan jenama, jualan produk dan memantapkan imej syarikat dalam komuniti setempat.
Pengurus Jualan Kumpulan, Hasil Baharu dan Acara Sinar Harian, Mohd Ariff Hashim berkata, ia merupakan antara elemen yang diberi perhatian khusus kepada pengiklan kerana sentiasa setia bersama syarikat penerbitan akhbar itu selama ini.
Jelas beliau, penganjuran karnival tersebut membuka peluang kepada pengiklan untuk berinteraksi dengan pelanggan, membina hubungan kukuh dan mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
"Tahun lalu kami memfokuskan elemen pendidikan digital tetapi kali ini bertemakan ‘Karnival Rakyat’ yang mampu membuka skop luas buat pengiklan kami dengan sasaran melebihi 100,000 pengunjung.
"Pengunjung terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang termasuk pelajar serta guru sekolah. Sudah semestinya mereka pembaca setia Sinar Harian dan pelanggan produk Karangkraf termasuk Grup Buku Karangkraf.
"Selain itu, ruang yang ada bakal dimanfaatkan untuk aktiviti promosi seperti pertandingan, potongan harga dan hadiah percuma untuk menarik perhatian pengunjung. Lebih unik lagi, pengiklan dapat liputan media meluas menerusi platform digital dan akhbar Sinar Harian," katanya pada Sabtu.
Selain daripada pengiklan Sinar Harian, beberapa ruang pameran turut dibuka kepada syarikat atau pengusaha produk yang mahu mencuba menerokai pasaran baharu.
Menurut Mohd Ariff, selain menyertai karnival berkenaan, syarikat korporat yang terlibat turut menjadi penaja aktiviti sepanjang karnival berlangsung seperti pertandingan memasak PKPS Riuh Rewang, Dikir Barat KDEBWM, Pertandingan Melukis dan Mewarna RISDA, Hari Kantin Sekolah PTPTN, Deklamasi Sajak Bank Rakyat serta lain-lain.
"Kami juga mengadakan Bazar Rakyat, 12 reruai akan disertai pengusaha kecil dan sederhana (PKS) untuk menjual produk mereka, contohnya busana tradisional, cenderahati serta barangan kosmetik.
"Selama tiga hari karnival berlangsung, jemputlah datang beramai-ramai dan luangkan hujung minggu bersama rakan serta keluarga di sini.
"Banyak aktiviti menarik disediakan dan paling penting jangan lupa singgah di reruai pempamer. Tiada di tempat lain, hanya di Karnival Rakyat Karangkraf 2024,” ujarnya.
Terdapat lebih 35 tapak pameran disediakan dengan 24 daripadanya merupakan reruai entiti korporat dan agensi kerajaan atau swasta, antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTPN), Malaysia Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan KDEB Waste Management (KDEBWM).
Selain itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Northport, Bank Rakyat, Prudential BSN Takaful, Duopharma Consumer Healthcare, redONE Mobile, Public Gold, Jalen Malaysia, Les’ Copaque, NIMS Adeliciousz, Farm in The City dan MG Motor Shah Alam turut terlibat mempromosikan jenama masing-masing.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!