PENGENDALI Colombia, Nestor Lorenzo berkata, pasukannya perlu berada pada tahap terbaik jika mahu menewaskan juara dunia, Argentina dan memenangi perlawanan akhir Copa America pada Isnin.
Argentina sedang berusaha mendapatkan kemenangan kejohanan utama ketiga berturut-turut manakala Colombia berharap mereka boleh memenangi mahkota benua itu buat kali kedua.
"Kami perlu menjadi Colombia terbaik, versi terbaik untuk menewaskan Argentina.
"Untuk menang menentang Argentina, kami perlu bersedia dengan sangat baik kerana mereka adalah juara. Ia akan menjadi perlawanan yang sangat mencabar,” katanya.
Colombia tidak tewas dalam 28 perlawanan terakhir mereka, dengan 25 daripada keputusan itu diperoleh sejak Lorenzo mengambil alih pasukan.
Walaupun melihat pasukannya terus berkembang dan bertambah baik sepanjang dia mengambil alih pasukan, Lorenzo tahu bahawa perlawanan akhir menentang Argentina akan menjadi satu perlawanan sukar.
"Setiap hari, pasukan cuba mengatasi halangan, bermakna perkembangan yang baik dan kami mempunyai beberapa perlawanan dengan situasi seperti ini yang membuatkan kami mencipta semula diri dalam permainan.
"Kami berada dalam situasi yang sangat baik. Saya fikir pasukan masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan dan kami berharap untuk mempunyai prestasi yang hebat esok dan mengorak langkah ke hadapan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!