KUALA LUMPUR - Susulan kes kematian seorang pempengaruh TikTok yang dipercayai menjadi mangsa buli siber secara berterusan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyeru kerajaan untuk melaksanakan peraturan yang lebih ketat ke atas platform media sosial.
Wanita berusia 30 tahun itu, yang biasanya berkongsi kandungan positif dan hal-hal berkaitan kecantikan, dilaporkan telah diganggu oleh sekumpulan pemilik akaun TikTok tanpa nama sebelum kematiannya. Pelaku, yang bersembunyi di sebalik profil palsu, didakwa secara berterusan mengganggu mangsa dengan kata-kata hinaan.
Faktor penting yang menyumbang kepada buli siber terus berlaku secara meluas adalah penggunaan anonimiti atau ketanpanamaan yang dibenarkan di platform media sosial dan pembuli sering bergantung pada akaun palsu untuk mengganggu mangsa, tanpa rasa takut akan akibatnya.
Selaras usaha kerajaan, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia, Saral James Maniam menggesa syarikat media sosial supaya menubuhkan dasar antibuli siber dalaman mengikut budaya dan norma tempatan.
Beliau menekankan, keperluan bagi platform media sosial berkongsi tanggungjawab dalam penapisan kandungan dan identiti untuk mencegah pelanggaran undang-undang.
Beliau memberitahu Bernama, tinjauan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Keganasan terhadap Kanak-Kanak mendapati 28 peratus daripada 6,953 orang muda di Malaysia melaporkan menjadi mangsa buli dalam talian.Sementara itu, Pengerusi Gabungan Kebangsaan untuk Kesejahteraan Mental Malaysia (NCMW), Siti Subaidah Mustaffa berkata, desakan terhadap pembaharuan media sosial telah lama menjadi agenda pihaknya.
"Terlalu banyak insiden media sosial mempengaruhi dan memberi kesan kepada minda yang terdedah (kepada buli siber). Insiden sebegini telah meningkat, bukan hanya menjuruskan kepada 'rasa' untuk membunuh diri, malah kesannya terhadap minda kita, kanak-kanak dan orang dewasa, secara ketara telah mengubah tingkah laku dan nilai.
"Ketagihan dan pergantungan pada media sosial menjadi lebih jelas dalam persekitaran sosial hari ini, mempengaruhi cara kita berfikir, bercakap dan bertindak. Kita perlu mengikuti perkembangan pesat teknologi yang berubah dalam beberapa saat.
"Oleh itu, peraturan kerajaan terhadap media sosial dan platform digital mungkin dapat membantu mengurangkan risiko dan ancaman," tambahnya.
Kes terbaharu melibatkan pempengaruh TikTok tersebut bukanlah insiden terpencil. Pada Mei 2020, seorang wanita berusia 20 tahun ditemukan meninggal dunia selepas video TikTok yang dimuat naiknya tular dan menarik banyak komen negatif dan buli siber.
Selain itu, pada Jun 2022, seorang ibu kepada tiga orang anak dipercayai membunuh diri akibat gangguan dalam talian.Peristiwa-peristiwa menyayat hati ini menuntut keperluan mendesak untuk langkah-langkah menyeluruh dan berkesan bagi menangani buli siber.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa masalah buli siber dan peranan platform media sosial dalam mengurangkan isu itu telah dibawa ke suatu perbicaraan kongres.
Awal tahun ini, Ketua Pegawai Eksekutif META, Mark Zuckerberg juga telah dipanggil untuk memberikan penjelasan mengenai keselamatan kanak-kanak menerusi perbicaraan dalam talian.
Penggubal undang-undang menyoal beliau tentang usaha syarikat untuk menangani pembulian siber dan keberkesanan langkah-langkah semasa mereka.
Semasa perbicaraan, Zuckerberg memohon maaf kepada ibu bapa dan mengakui keperluan untuk perlindungan yang lebih baik untuk pengguna, terutamanya kanak-kanak daripada gangguan dalam talian. Soal siasat berprofil tinggi ini menunjukkan kebimbangan serta tuntutan yang semakin mendesak kepada syarikat besar media sosial untuk mengambil tanggungjawab.
Bagi menangani buli siber, platform media sosial perlu mengamalkan beberapa langkah kritikal antaranya pengawasan kandungan yang dipertingkat, penggunaan algoritma canggih dan moderator (individu yang dilatih) untuk mengesan dan menghapuskan kandungan berbahaya dengan cepat.
Selain itu, menyediakan sistem sokongan yang lebih baik untuk mangsa buli siber termasuk mekanisme pelaporan dan bantuan berkaitan kesihatan mental yang mudah diakses juga sangat penting. Dengan mengawal selia media sosial, kerajaan dapat memastikan penyedia platform bertanggungjawab terhadap kandungan yang dikeluarkan dan keselamatan pengguna mereka. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!