KLANG - Pemancing wanita, Dayang Noorhusnina Awang Subohidin, 35, mencatat kejayaan manis apabila berjaya menaikkan lapan ekor ikan seberat kira-kira 10 kilogram (kg) dalam pertandingan Joran Kewangan 2024 di Kampung Delek di sini pada Sabtu.
Kejayaan Dayang Noorhusnina itu sekali gus menyumbang kepada kejuaraan buat pemancing Kementerian Kewangan (MOF) sebagai juara keseluruhan pasukan pada pertandingan anjuran Kelab Pemancing Perbendaharaan Putrajaya (KPP).
Dayang Noorhusnina berkata, minat memancing itu mula berputik sejak enam tahun lalu.
"Saya bukanlah pemancing tegar dan minat ini bermula pada 2018, namun hanya memancing di kolam sahaja kerana tak boleh ke laut akibat mudah mabuk laut.
"Aktiviti rekreasi ini lebih kepada hobi santai dan ia mendidik kita untuk menerapkan nilai kesabaran dan bersyukur selain tidak menghabiskan wang untuk membeli peralatan memancing dan hanya memiliki sekadar satu set peralatan," katanya.
Menurut Dayang Noorhusnina, ikan paling besar pernah dinaikkan ialah ikan kerapu seberat 7kg ketika memancing bersama rakan-rakan.
Pertandingan itu dirasmikan oleh Setiausaha Kehormat KPP, Abu Bakar @Salleh Jambol serta dihadiri barisan kepimpinan pelbagai agensi di bawah Kementerian Kewangan.
Pertandingan itu bermula jam 8.40 pagi itu disertai 350 kaki pancing daripada 13 Kelab Gabungan di bawah Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-anggota Kementerian Kewangan (MKSAKK).
Program itu sebagai salah satu aktiviti riadah anjuran KPP untuk memupuk kerjasama selain mengeratkan ukhuwah serta memupuk budaya sihat melalui sukan.
Bagi kategori terbuka individu, Mohd Najib Ariffin dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjuarai kategori ini selepas berjaya menaikkan ikan seberat 7.55kg.
Mohd Zull Izwan Nordin dari Bank Negara Malaysia menaikkan ikan seberat 7.35kg di tempat kedua dan tempat ketiga milik Rosman Subari dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan ikan seberat 2.66kg.
Pemancing dari Kelab Pemancing Perbendaharaan mewakili Kementerian Kewangan merangkul kejuaraan dengan berjaya menaikkan 57 ekor ikan, diikuti LHDN sebanyak 55 ekor dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebanyak 43 ekor.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!