LAHAD DATU - [DIKEMAS KINI] Seekor buaya betina seberat kira-kira 300 kilogram (kg) berjaya ditembak mati oleh sepasukan Jabatan Hidupan Liar (JLH) Lahad Datu di perkampungan atas air di Kampung Sabah Baru dekat sini pada malam Khamis lalu.
Buaya tersebut ditembak kira-kira jam 11 malam hasil daripada operasi bersepadu membanteras haiwan itu di beberapa kampung sekitar daerah berkenaan.
Pegawai JHL Lahad Datu, Sylvester Saimin berkata, operasi tersebut dilakukan susulan laporan daripada penduduk yang terlihat kelibat reptilia tersebut.
"Operasi dijalankan meliputi beberapa kawasan iaitu di Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC), Kampung Dasar Baru, Kampung Desa Bajau, Kampung Sabah Baru, Kampung Tabanak dan Kampung Terusan.
"Kehadiran haiwan tersebut akhirnya berjaya dikesan di tepi rumah atas air sebuah kampung dan satu das tembakan dilepaskan oleh pihak JHL," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Katanya lagi, buaya sepanjang 2.5 meter itu berjaya ditembak dan bangkainya dibawa ke perumahan kakitangan JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Sylvester berkata, operasi itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!