THE HAGUE - Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengumumkan akan mengeluarkan Pendapat Nasihat mengenai kesan perundangan berkaitan tindakan Israel di wilayah Palestin yang diduduki pada minggu depan.
"Pada Jumaat, 19 Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa akan menyampaikan Pendapat Nasihat berkenaan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur.
"Satu pendengaran awam akan diadakan pada 3 petang di Peace Palace di The Hague di mana Hakim Nawaf Salam, Presiden Mahkamah akan membacakan Pendapat Nasihat itu,” menurut ICJ dalam satu kenyataan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Pada 30 Disember 2022, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang meminta ICJ memberikan pendapat nasihat mengenai kesan perundangan yang timbul daripada pendudukan wilayah Palestin oleh Israel sejak 1967, bagaimana dasar dan amalan Israel mempengaruhi status undang-undang pendudukan dan apakah kesan perundangan yang timbul bagi semua negara dan PBB daripada status ini. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!