4 negeri berpotensi bangun teknologi CCUS - Rafizi

Iklan
Rafizi bersama Ahmad Samsuri ketika mengadakan sesi libat urus mengenai pembangunan teknologi CCUS di Wisma Darul Iman pada Ahad.

KUALA TERENGGANU - Empat negeri dikenal pasti berpotensi besar untuk memanfaatkan teknologi pembangunan sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di negara ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, selain Terengganu, tiga lagi negeri yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan sektor tersebut ialah Pahang, Sabah dan Sarawak.

Iklan
Iklan

"Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan keempat-empat negeri ini bagi memastikan semua berjalan dengan baik di mana prosesnya bergantung kepada kesediaan komersial setiap projek.

"Kita akan memastikan perancangan CCUS di peringkat nasional berada dalam keadaan baik supaya pelanggan luar negara boleh menilai kemajuan dan potensi projek ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi libat urus di Wisma Darul Iman di sini pada Ahad.

Iklan

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Terengganu berpotensi besar sebagai peneraju teknologi tersebut memandangkan ia mempunyai fasiliti sedia ada di Kerteh, Kemaman.

Katanya, kerajaan akan menjadi pemudah cara bagi memastikan perancangan mengenainya dapat disusun dengan baik seterusnya memberi limpahan ekonomi terhadap negeri tersebut.

Iklan
Rafizi (kanan) bersama Ahmad Samsuri selepas menghadiri sesi libat urus CCUS di Wisma Darul Iman pada Ahad.

"CCUS merupakan salah satu projek rintis dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) di mana Terengganu merupakan negeri peneraju bagi pelaksanaan CCUS ini memandangkan ia sudah mempunyai telaga minyak di luar pesisir pantai serta fasiliti terminal sedia ada di Kerteh, Kemaman.

"Kita melihat potensi sedia ada di Kerteh itu untuk dikembangkan melebihi industri berasaskan minyak dan petrokimia sedia ada supaya dapat dikembangkan kepada industri berat baharu dengan menggunakan CCUS sebagai pemangkin kepada kemajuan itu.

"Di peringkat kerajaan Persekutuan kita sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang untuk dibentangkan pada November depan bagi melahirkan industri CCUS di Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai pihak yang menunjukkan minat untuk melabur dalam sektor tersebut, Rafizi berkata, keputusan mengenai pelaburan akan dibuat selepas Rang Undang-Undang itu dimuktamadkan.

"Perbincangan dengan pelabur dan pelanggan antarabangsa yang akan menggunakan CCUS ini sedang berjalan dan keputusan itu juga mungkin akan dimuktamadkan pada 2025.

Sesi libat urus antara Kementerian Ekonomi dan kerajaan negeri diadakan di Wisma Darul Iman pada Ahad.

"Dari segi nilai pelaburan itu kita jangka daripada satu fasiliti CCUS yang lengkap dari terminal sehingga ke luar pesisir pantai mencecah RM20 bilion," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan awal bersama Petronas sebagai syarikat pengendali supaya anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dapat turut sama ke arah pembangunan teknologi.

"Pembangunan ini penting supaya ekosistem yang dilaksanakan akan memberi pulangan hasil terhadap negeri Terengganu sendiri dan penting juga untuk Malaysia di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Teknologi CCUS antara kaedah mitigasi penting dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) kerana ia digunakan untuk memerangkap dan menyimpan kekal CO2 di dalam tanah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!