RM250 juta ketirisan diesel dielak dalam sebulan penyasaran subsidi

Iklan
Amir Hamzah (kanan) yang turut bertemu dengan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di ICQS di Pengkalan Kubor, Tumpat.

TUMPAT - [DIKEMAS KINI] Penyasaran subsidi diesel dilaksanakan kerajaan berjaya menggelak ketirisan bahan api itu bernilai lebih RM250 juta dalam tempoh sebulan sejak dilaksanakan 10 Jun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, data diperolehi menunjukkan pengurangan ketara jualan diesel dari stesen minyak di seluruh negara termasuk berdekatan sempadan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pada awal Jun lalu, purata jualan harian diesel dari stesen minyak di Semenanjung Malaysia adalah 28.6 juta liter sehari manakala pada awal Julai ini, purata jualan harian diesel tersebut turun kepada 22.2 juta liter sehari.

Amir Hamzah

"Berlaku pengurangan sebanyak 6.5 juta liter sehari atau 23 peratus jualan diesel.

Iklan

"Mengambil kira tiada faktor mendorong pengurangan kegunaan diesel antara Jun dan Julai, boleh disimpulkan bahawa sebelum penyasaran subsidi diesel, sekurang-kurangnya 6.5 juta liter sehari diselewengkan sama ada oleh industri atau diseludup ke negara jiran.

"Daripada jumlah ini, kerajaan boleh menganggarkan jumlah ketirisan yang dapat dielakkan bernilai lebih RM250 juta sebulan,” katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Kerja Kementerian Kewangan (MoF) ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, di sini, pada Ahad.

Iklan

Amir Hamzah berkata, kesimpulan itu turut disokong dengan data jualan diesel secara komersial yang meningkat sebanyak 4.8 juta liter sehari bagi tempoh perbandingan sama.

Amir (dua dari kanan) memeriksa perbarisan kehormat di ICQS Pengkalan Kubor, Tumpat, pada Ahad.

Katanya, sebelum ini, ketika harga diesel bersubsidi di stesen minyak pada RM2.15 seliter, pihak industri mencari jalan menyumberkan bekalan diesel dari stesen minyak berbanding membeli diesel secara komersial yang melebihi RM3 seliter.

"Sekarang dengan harga di stesen minyak pada RM3.35 seliter, industri tersebut beralih semula kepada membeli diesel secara komersial.

"Pada masa sama, terdapat stesen minyak di kawasan utara berdekatan sempadan mengalami kejatuhan jualan diesel 40 hingga 50 peratus, memaparkan kejatuhan aktiviti penyeludupan ke negara jiran disebabkan pengurangan margin keuntungan penyeludup,” katanya.

Dalam pada itu, berkaitan pelaksanaan subsidi petrol RON95 pula, Amir Hamzah memberitahu, kerajaan ketika ini masih lagi memberi tumpuan dan memperhalusi keberkesanan penyasaran subsidi diesel.

"Seperti diterangkan dalam Parlimen, kerajaan masih melihat kelancaran pelaksanaan inisiatif penyasaran subsidi diesel.

"Beri masa untuk kerajaan selesaikan dulu penyasaran subsidi diesel, baru akan lihat mekanisme mana sesuai untuk RON95,” katanya.

Sebelum ini, inisiatif penyasaran subsidi bahan api yang dimulakan dijangka dapat memperkukuh kedudukan fiskal negara dan mengurangkan ketirisan susulan aktiviti penyeludupan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!